SEREMBAN – Pemilik rumah yang runtuh di Taman Pinggiran Senawang, di sini menafikan dakwaan segelintir pihak yang mengaitkan kejadian itu dengan kerja ubah suai.
Kamal Ariffin Md Arif, 51, yang bekerja sebagai Ketua Teknikal di Tenaga Nasional Berhad (TNB) Seremban berkata, rumah berkenaan telah didiami sejak tahun 2012, manakala kerja ubah suai dilakukan kira-kira tujuh tahun lalu dan pemasangan panel solar pula sekitar empat tahun lepas.
Menurutnya, kejadian runtuhan struktur bahagian hadapan rumah itu berlaku di luar jangkaan dan tidak diketahui puncanya setakat ini.
“Apa yang terjadi ini di luar jangkaan. Saya reda kerana yang paling penting kami selamat.
“Setakat ini saya tidak tahu punca kejadian dan saya serahkan kepada pihak berwajib untuk menjalankan siasatan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Khamis.
Dalam kejadian sekitar jam 4.30 pagi itu, Kamal Ariffin berkata, dia sedang tidur sebelum dikejutkan isterinya yang memaklumkan terdengar bunyi dentuman dari arah hadapan rumah.
“Saya pergi ke bilik anak dan mendapati siling plaster sudah runtuh. Pada masa sama, masih terdengar bunyi seolah-olah struktur rumah hendak runtuh.
“Saya terus keluar rumah dan sebaik sahaja kami keluar, bahagian hadapan rumah runtuh sepenuhnya,” katanya.
Beliau berkata, kejadian berlaku terlalu pantas sehingga mereka hanya sempat menyelamatkan diri sehelai sepinggang.
Tambahnya, dia sempat menjerit meminta pertolongan kerana bimbang isterinya masih berada di dalam rumah, namun lega apabila dimaklumkan isterinya telah keluar melalui pintu belakang.
“Kalaulah saya tidak terjaga ketika isteri kejutkan, saya tidak tahu apa yang akan berlaku kepada kami,” katanya.
Dalam kejadian itu, runtuhan berkenaan turut mengakibatkan tiga kenderaan miliknya rosak, iaitu sebuah Toyota Alphard, Toyota Yaris serta sebuah motosikal.