PEMUISI gesa kerajaan tegas tolak pengiktirafan UEC

Iklan
UEC bukan persoalan budaya atau bahasa semata-mata tetapi persoalan struktur sistem pendidikan dan prinsip kenegaraan yang lebih besar. Gambar hiasan

KUALA LUMPUR - Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia (PEMUISI) menggesa kerajaan Malaysia Madani bertegas menolak desakan pihak tertentu supaya Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) diiktiraf sebagai kelayakan kemasukan ke institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini.

Presidennya, Datuk Dr Radzuan Ibrahim berkata, desakan berkenaan tidak wajar dipertimbangkan kerana didakwa jelas melanggar peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan Dasar Pendidikan Kebangsaan.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, sistem pendidikan yang melahirkan sijil UEC tidak mengikut sistem pendidikan kebangsaan, malah bertentangan dengan Akta Pendidikan 1996, selain mengenepikan penggunaan Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa rasmi negara.

“Jadi adalah sesuatu yang tidak wajar jika sijil tersebut diterima sebagai kelayakan masuk ke institusi pengajian tinggi negara,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Iklan

Radzuan turut menyuarakan kebimbangan bahawa perkembangan sekolah vernakular di seluruh negara akan terus meluaskan jurang dalam sistem pendidikan nasional sekiranya isu berkenaan tidak ditangani dengan tegas.

Beliau berkata, perpaduan dalam kalangan generasi akan datang hanya dapat dibentuk menerusi satu aliran dan satu sistem pendidikan seperti yang ditetapkan dalam Dasar Pendidikan Kebangsaan.

Iklan

“Dengan silibus yang berlainan dan tidak mengikut acuan pendidikan negara, saya bimbang ia akan menghasilkan jurang yang lebih dalam antara kaum, termasuk dari segi bahasa dan budaya,” ujarnya.

Sehubungan itu, PEMUISI menyeru kerajaan Malaysia Madani, khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, supaya mengkaji isu berkenaan secara mendalam dengan mengambil kira sensitiviti rakyat, kehendak Perlembagaan Persekutuan serta undang-undang negara, dan seterusnya menolak desakan berkenaan.

Baru-baru ini, sebuah parti politik mengeluarkan kenyataan menyeru kerajaan membenarkan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) digunakan sebagai kelayakan untuk melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi di seluruh negara, sekali gus mencetuskan polemik dan perbincangan hangat dalam kalangan masyarakat.