BEIJING - Seorang wanita berusia 28 tahun di Suzhou, wilayah Jiangsu, China, dimasukkan ke hospital dalam keadaan kritikal awal bulan ini selepas menjalani rawatan penurunan berat badan yang dibeli secara dalam talian, lapor South China Morning Post.
Menurut laporan itu, wanita berkenaan tertarik dengan iklan suntikan kurus yang dipromosikan di media sosial beberapa bulan lalu dan didakwa mampu menurunkan berat badan dengan pantas.
Dia kemudiannya membeli tiga suntikan dengan harga 900 yuan (kira-kira RM590).
Difahamkan, wanita itu hanya menyuntik separuh daripada dos yang disarankan pada bahagian perut kerana bimbang terhadap keselamatan.
Namun, dalam tempoh empat hari, berat badannya dilaporkan turun sebanyak lima kilogram selain mengalami loya serta hilang selera makan.
Keadaan kesihatannya bagaimanapun semakin merosot apabila dia mula muntah berwarna hijau dan kuning sebelum mengalami muntah darah, menyebabkan dia dikejarkan ke hospital.
Pemeriksaan mendapati lapisan perutnya mengalami kerosakan serius dan pada satu ketika, denyut nadinya dilaporkan terhenti sebelum berjaya diselamatkan oleh pasukan perubatan.
Siasatan lanjut mendapati suntikan berkenaan merupakan produk haram yang tidak dikawal selia dan dijual melalui siaran langsung dalam talian.
Wanita tersebut kini dilaporkan stabil dan telah dibenarkan keluar dari hospital, namun doktor memaklumkan bahawa kesan sampingan jangka panjang tidak dapat diketepikan.