SABAK BERNAM - Kira-kira 308,000 pertubuhan di seluruh Selangor bakal terlibat dalam Banci Ekonomi 2026 (BE 2026), menurut rekod terkini dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Berdasarkan jumlah tersebut, DOSM berkata, 74.1 peratus terdiri daripada pertubuhan mikro diikuti kecil (24.6 peratus), besar (4.7 peratus) manakala sederhana (1.5 peratus).
Menurut jabatan itu, dari segi pecahan mengikut sektor, perkhidmatan mengungguli peratusan tertinggi iaitu 83.8 peratus merangkumi 258,909 pertubuhan.
"Ini diikuti pembinaan sebanyak 8.6 peratus (26,512), pembuatan, 6.6 peratus (20,343), pertanian 0.8 peratus (2,454) serta perlombongan dan pengkuarian 0.2 peratus (643).
"Mengikut rekod terkini daripada Malaysia Statistical Business Register (MSBR) pula, BE 2026 dijangka meliputi 1.22 juta pertubuhan di peringkat nasional," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
BE 2026 akan dilaksanakan di seluruh negara mulai Februari hingga Oktober tahun depan, bertemakan 'Data Nadi Ekonomi Rakyat'.
Pelaksanaan BE 2026 bertujuan mengumpulkan maklumat komprehensif mengenai prestasi dan struktur ekonomi negara bagi tahun rujukan 2025.
Melalui liputan menyeluruh ke atas semua sektor ekonomi, banci memberi gambaran tepat mengenai tahap aktiviti ekonomi, produktiviti, guna tenaga, pelaburan, pendapatan serta corak perbelanjaan perniagaan.
BE 2026 merupakan banci keenam sejak ia mula diperkenalkan pada 2001 dan menjadi sumber utama dalam penghasilan statistik struktur ekonomi negara, merangkumi aktiviti semua ekonomi termasuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), pertubuhan perniagaan, pertubuhan tidak berasaskan keuntungan serta sektor informal.
Pengumuman itu disampaikan sempena pelaksanaan Program Kampung Angkat Madani DOSM di Kampung Baharu, Sabak Bernam pada Ahad, yang menjadi platform penting bagi meningkatkan libat urus bersama komuniti tempatan dan memperkukuh kesedaran tentang kepentingan penyediaan data ekonomi negara.
Sementara itu, Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, Sabak Bernam merupakan daerah luar bandar utama di utara Selangor dengan ekonomi berteraskan pertanian, perikanan serta perusahaan kecil dan mikro.
"Struktur perniagaan di daerah ini didominasi PMKS, khususnya pertubuhan mikro dengan tumpuan aktiviti tertinggi di kawasan Sungai Besar dan Sekinchan yang menjadi pusat komersial setempat.
"Berdasarkan rekod awal BE 2026, daerah ini merekodkan 213 pertubuhan sektor informal termasuk penjaja, kedai runcit kecil dan perniagaan berasaskan komuniti, selain 90 pengusaha inap desa yang menyokong pengembangan agro-pelancongan tempatan," ujar beliau.
Jelasnya lagi, industri tumpuan di Sabak Bernam meliputi pemprosesan makanan, khususnya kerepek dan produk makanan ringan yang beroperasi di sekitar Sungai Besar, Parit Baru serta Sekinchan.
"Ekosistem perniagaan setempat turut disokong oleh rangkaian pasar utama dengan tujuh pasar awam menempatkan 635 'outlet', menjadikan daerah ini antara pusat hasil tani, makanan laut dan produk agro yang aktif di Selangor,” katanya.