IPOH – Majlis Agama Islam dan ’Adat Melayu Perak (MAIPk) menerbitkan komik berunsur naratif rakyat sebagai pendekatan kreatif untuk mengangkat serta memelihara warisan adat Melayu Perak berlandaskan prinsip Islam, khususnya dalam mendekati golongan muda.
Inisiatif itu diperkenalkan menerusi Program Santun Menerusi Komik dan Naratif Rakyat anjuran MAIPk dengan kerjasama Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM).
Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk, Syamsul Hazeman Md Salleh berkata, penghasilan komik berkenaan merupakan usaha di bawah Unit Adat Melayu MAIPk bagi mendidik masyarakat supaya lebih terbuka menerima dan memahami adat serta budaya Melayu yang semakin terpinggir.
“Kerjasama dengan UPSI dan UiTM ini bertujuan mencari kaedah terkini untuk menyampaikan mesej warisan dan adab budaya Melayu. Sebab itu kita memilih naratif komik yang mempunyai pendekatan lebih santai, kreatif dan dekat dengan minat generasi muda.
“Pendekatan ini menjadikan pengalaman lebih berkesan serta relevan dengan dunia digital yang dikenali remaja,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program berkenaan yang berlangsung di Dewan Al-Ghazali, Kompleks Islam Darul Ridzuan di sini, pada Isnin.
Menurut beliau, program tersebut turut mendedahkan kandungan manuskrip Misa Melayu, sebuah karya sejarah penting Kesultanan Perak yang sarat dengan adat dan ilmu Melayu, melalui medium visual dan interaktif.
Katanya, antara pengisian program ialah galeri komik bercetak, pameran koleksi komik Misa Melayu, ruang bacaan komik serta tayangan video naratif rakyat menggunakan teknologi realiti terimbuh (AR) dan audio pandang dengar.
Syamsul Hazeman berkata, setakat ini lima judul komik telah diterbitkan sebagai fasa awal, iaitu Komik Syair Bergambar Sultan Iskandar Bermain ke Laut, Chempaka Sari, Peristiwa Dato’ Hilang di Padang, Indahnya Mahligai Cinta Perak dan Pertunangan Sultan Iskandar Dzulkarnain dengan Puteri Raja Budak Rasul.
“Pemilihan topik dibuat bersama barisan penyelidik berdasarkan cerita yang signifikan dan dekat dengan masyarakat. Bukan hanya sekadar kita ambil daripada cerita dari mulut ke mulut sahaja tetapi pada masa yang sama kajian dibuat.
“Sebab itu kita ada kumpulan penyelidik daripada UPSI dan UiTM yang memang kita tahu kredibiliti mereka diyakini. Jika sambutan terhadap komik ini menggalakkan, kita akan kembangkan kepada topik-topik lain,” katanya.
Beliau menjelaskan, edaran awal komik berkenaan akan dibuat secara terhad kepada jabatan strategik termasuk sekolah dan institusi pendidikan, sebelum mempertimbangkan cetakan lebih besar bergantung kepada sambutan.
Dalam pada itu, MAIPk turut merancang penerbitan audio siar berkaitan warisan dan budaya Melayu sebagai medium tambahan untuk mendekati semua lapisan masyarakat secara santai, namun berinformasi.
Program tersebut merupakan sebahagian daripada kajian Kelestarian Warisan Perak berlandaskan Islam melalui penyelidik dari UPSI yang diketuai Prof Madya Dr Anida Sarudin, bersama Dr Nur Syuhada Mat Sin dan Pensyarah Kanan UiTM, Dr Mohd Nik Mat Pelet. Kajian ini turut melibatkan mahasiswa UPSI serta pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Samudera, Manjung dan Sekolah Kebangsaan (SK) St. Michael, Ipoh.