KETEGASAN Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, membidas tindakan DAP yang mahu kerajaan mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) dipuji ramai kerana sedikit sebanyak dapat meleraikan ketegangan mengenai kontroversi itu yang kembali dibangkitkan beberapa hari lalu.
Anwar berkata, tuntutan pengiktirafan UEC hanya menjurus kepada satu kaum dan satu bahasa sahaja, sedangkan kerajaan berpegang kepada prinsip asas negara yang melibatkan kepentingan semua rakyat.
Ia termasuk memastikan martabat Bahasa Melayu terus diangkat sebagai bahasa ilmu, bahasa rasmi dan lambang perpaduan nasional.
Beliau turut menekankan penguasaan asas Bahasa Melayu perlu diperkukuh terlebih dahulu sebelum sebarang cadangan memperkasa bahasa lain atau mengiktiraf sistem pendidikan alternatif seperti UEC dibincangkan.
Penjelasan Anwar memperlihatkan kerajaan tidak menolak kepentingan bahasa lain, namun keutamaan tetap diberikan kepada Bahasa Melayu.
Semua pihak diharap dapat menerima kenyataan apa sahaja tuntutan yang dibuat untuk membawa mesej sesuatu bahasa mesti haruslah mengangkat Bahasa Melayu terlebih dahulu.
Pengiktirafan atau penambahbaikan mana-mana sistem pendidikan harus selari dengan pembangunan ilmu, perpaduan nasional, dan keunggulan Bahasa Melayu di peringkat global.
Perdana Menteri turut mengingatkan sebarang tuntutan yang hanya menumpukan kepada satu bahasa atau kaum, tanpa mengambil kira kedudukan bahasa kebangsaan, berpotensi menimbulkan ketegangan dan menggugat keharmonian masyarakat.
Justeru, beliau menyeru semua pihak agar bertanggungjawab dalam mengemukakan cadangan, memastikan selari dengan semangat Perlembagaan.
Dalam konteks ini, pertahanan Bahasa Melayu bukan sahaja soal bahasa semata-mata, tetapi soal identiti bangsa, ilmu pengetahuan, dan perpaduan — asas yang perlu dihormati sebelum sebarang tuntutan lain dikemukakan.
Kejelasan ini dilihat penting untuk memastikan masyarakat memahami bahawa pembangunan negara dan pemeliharaan budaya serta bahasa rasmi perlu berjalan seiring demi kebaikan semua rakyat.