DALAM dunia kerjaya, kita bercakap setiap hari dalam mesyuarat, di WhatsApp, e-mel dan notis dalaman yang tidak pernah habis.
Namun semakin kerap kita bercakap, semakin jelas satu hakikat bahawa kita tidak benar-benar saling mendengar.
Bukan kerana niatnya begitu, tetapi kerana kita dibesarkan oleh jam yang berlainan, lalu dunia ditafsir mengikut minit dan saat masing-masing.
Dalam banyak organisasi hari ini, Generasi X masih memegang tampuk keputusan, Generasi Y menggerakkan sistem, manakala Generasi Z hidup sepenuhnya dalam realiti pelaksanaan.
Mereka berkongsi ruang yang sama, menggunakan bahasa yang sama, tetapi beroperasi dalam kerangka sosial yang tidak sejajar.
Di sinilah bermulanya salah faham yang sering disalah anggap sebagai masalah sikap, sedangkan puncanya ialah kegagalan komunikasi rentas generasi yang tidak pernah ditangani secara sedar.
Seperti yang dihujahkan oleh Karl Mannheim, ahli sosiologi Hungary yang merupakan antara tokoh paling berpengaruh dalam sosiologi pengetahuan dan teori generasi menyatakan generasi bukan sekadar kategori umur, tetapi kumpulan yang dibentuk oleh pengalaman sejarah dan konteks sosial yang dikongsi.
Apabila pengalaman itu berbeza, bahasa untuk mentafsir dunia juga berubah. Maka tidak menghairankan apabila satu mesej yang dianggap jelas oleh satu generasi, dibaca secara berbeza dan bertentangan oleh generasi yang lain.
Generasi X, Y dan Z
Generasi X yang lahir sekitar pertengahan 1960-an hingga awal 1980-an dan dibesarkan dalam budaya kerja yang menilai disiplin, hierarki dan pengalaman. Komunikasi bagi generasi X adalah satu proses.
Mesyuarat mesti berperingkat, keputusan perlu masa bertenang, dan perubahan wajar diuji sebelum dilaksanakan agar tidak membawa kesan jangka panjang yang sukar diperbaiki.
Dalam logik ini, diam bukan tanda kelemahan, tetapi kebijaksanaan. Lambat pula sering disamakan dengan cermat. Justeru, keputusan pantas mudah dilihat sebagai berisiko, dan komunikasi ringkas dianggap tidak cukup matang atau belum lengkap konteksnya.
Generasi Y atau Milenial pula membesar dalam zaman peralihan. Mereka mengenal dunia analog, tetapi matang bersama dunia digital. Komunikasi perlu cekap, namun masih berlapik.
Mereka sering menjadi jambatan antara dua dunia. Mereka cukup pantas untuk teknologi, cukup berhati-hati untuk struktur lama.
Ironinya, generasi inilah yang paling kerap keletihan. Terlalu pantas, dianggap gopoh. Terlalu berhati-hati, dilabel tidak berani membuat keputusan. Apa pun langkah, ada yang tercalar, ada yang tidak pernah benar-benar berpuas hati.
Generasi Z pula hadir dengan logik yang jauh lebih segera. Mereka hidup dalam dunia visual, serentak dan pantas. Komunikasi mereka ringkas, simbolik dan berorientasikan tindakan.
Emoji, video pendek dan mesej satu baris dan kadang kala 1 huruf bukan kemalasan berfikir, tetapi refleksi dunia yang bergerak tanpa henti dan sentiasa bersaing dengan perhatian.
Menurut Manuel Castells, ahli sosiologi kontemporari, masyarakat rangkaian telah mengubah cara manusia memahami masa dan kehadiran.
Bagi Generasi Z, masa bukan linear tetapi bertindih. Banyak perkara berlaku serentak. Dalam konteks ini, kelewatan respons sering ditafsir sebagai penolakan, bukan renungan atau pertimbangan.
Apabila tafsiran bertembung
Masalah bermula apabila setiap generasi menganggap cara komunikasinya sebagai piawai sejagat. Generasi X melihat Generasi Z sebagai terlalu ringkas dan kurang adab.
Generasi Z pula melihat Generasi X sebagai terlalu formal dan lambat bertindak. Generasi Y terus menjadi penterjemah yang senyap, menampung jurang yang semakin luas dan melebar.
Keadaan menjadi lebih parah apabila kuasa komunikasi masih beroperasi dalam logik lama, sedangkan realiti bergerak dalam logik baharu. Keputusan lambat dalam dunia pantas bukan lagi soal berhati-hati, tetapi soal ketinggalan.
Sebaliknya, tindakan pantas tanpa kefahaman konteks boleh mencetuskan kekeliruan dan penolakan. Bagai bercakap berlainan Bahasa dan huruf yang sama tapi makna berbeza.
Kepekaan rentas zaman sebagai jalan tengah
Penyelesaian kepada isu komunikasi rentas generasi bukan terletak pada usaha menyeragamkan gaya, tetapi pada kepekaan rentas zaman.
Satu kesedaran bahawa setiap generasi adalah produk zamannya sendiri dan tidak boleh dipisahkan daripada konteks sejarahnya.
Generasi X perlu menerima bahawa kejelasan hari ini tidak semestinya panjang. Generasi Z pula perlu memahami bahawa tidak semua keputusan boleh dibuat sepantas algoritma.
Biar lambat asalkan selamat bukan penolakan kemajuan, tetapi peringatan tentang tanggungjawab dan kesan jangka panjang.
Seperti yang dihujahkan oleh Mikhail Bakhtin, ahli falsafah Rusia bahawa makna lahir melalui dialog antara suara yang berbeza, bukan melalui dominasi satu suara.
Tanpa dialog lintas generasi yang jujur, komunikasi akan terus menjadi medan salah tafsir, bukan jambatan kefahaman.
Jika kita terus menyalahkan perbezaan umur setiap kali komunikasi gagal, kita sedang menutup mata terhadap masalah sebenar.
Isunya bukan Generasi X yang terlalu berhati-hati, bukan Generasi Y yang serba terhimpit, dan bukan Generasi Z yang terlalu pantas. Isunya ialah keengganan untuk mengakui bahawa cara kita berfikir telah dibentuk oleh zaman yang berbeza.
Selagi setiap generasi berusaha untuk menang dalam perbualan dan bukan memahami, selagi itulah komunikasi akan kekal sebagai medan kuasa, bukan ruang dialog.
Organisasi akan terus bergerak, tetapi tanpa kesepaduan; keputusan akan terus dibuat, tetapi tanpa kefahaman bersama. Bercakap banyak, tetapi faham sedikit.
Kematangan sesebuah masyarakat tidak diukur pada seberapa pantas ia berubah, tetapi pada keupayaannya mendengar dan peka kepada lintas usia.
Generasi yang saling menyokong mampu menahan arus perubahan dengan lebih utuh berbanding mereka yang berdiri sendiri.
Dalam dunia yang bergerak terlalu pantas, keupayaan memperlahankan diri untuk memahami menjadi satu bentuk kebijaksanaan baharu.
Ini kerana di tengah kebisingan suara dan kelajuan masa, yang paling radikal hari ini bukanlah bercakap paling kuat tetapi mendengar dengan jujur dan memahaminya dengan sederhana.
*Syirfan Indra Mitra Surya Hussin ialah sarjana media dan penyelidik naratif digital yang memberi tumpuan kepada transformasi kewartawanan baharu, komunikasi strategik dan transformasi wacana awam dalam ekosistem maklumat kontemporari.