PENGENDALI Sabah FC, Jean-Paul de Mar Maringny lebih suka pasukannya dianggap sebagai 'underdog' sambil menjelaskan bahawa skuad Badak tidak berdepan tekanan bagi menghadapi perlawanan akhir Piala FA menentang Johor Darul ta'zim (JDT) di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini.
Pun begitu, jurulatih dari Australia itu berkata, pasukannya tetap menyimpan azam besar untuk menamatkan penantian 30 tahun menjulang Piala FA buat kali kedua sejak kejayaan pertama pada 1995, selain layak ke final buat kali pertama selepas 27 tahun.
Menurutnya, status bukan pilihan membuatkan anak buahnya lebih tenang dan tidak dibebani tekanan menjelang final menentang juara bertahan tiga kali berturut-turut itu.
“Kami suka jadi pasukan underdog... kami tahu siapa kami dan apa yang kami lakukan. Underdog akan berjuang hingga ke akhir,” katanya.
Jurulatih berusia 61 tahun itu menambah, fokus utama beliau hanyalah memastikan pemain melaksanakan pelan permainan dengan mentaliti tepat tanpa memikirkan isu yang dihadapi Harimau Selatan.
"Saya seorang jurulatih yang hanya memfokuskan kepada pasukan saya. Ini yang di bawah kawalan saya dan saya tidak boleh mengawal pihak lawan.
"Objektif utama saya ialah memastikan pemain melaksanakan rancangan permainan dengan tahap mental yang betul dan berani," katanya.
Sebagai rekod, final Piala FA musim ini seakan mengulangi final edisi 1998 yang menyaksikan Johor menewaskan Sabah 1-0 di Stadium Likas.
JDT mara ke final Piala FA buat kali keempat berturut-turut manakala Sabah FC mengesahkan slot ke final buat kali pertama dalam tempoh 27 tahun sejak kali terakhir pada 1998.
Sabah muncul juara Piala FA buat julung kalinya pada 1995 ketika menewaskan Pahang 3-1 di Stadium Merdeka.