PENGENALAN struktur liga berasaskan kerjasama bagi saingan Malaysia Mobile Legends: Bang Bang Professional League (MPL MY) musim depan dilihat mampu menjamin kebajikan pasukan dan pemain dengan lebih baik.
Bekas pemain profesional Mobile Legends: Bang Bang (MLBB), Muhammad Faris Zakaria yang lebih dikenali sebagai Soloz berkata, struktur liga itu sangat penting memandangkan pada masa ini beberapa pasukan terpaksa bergelut untuk terus bertahan susulan kos operasi yang tinggi dalam menguruskan organisasi e-sukan.
“Bagi saya, pembaharuan oleh MPL MY ini sudah tentu dapat menjamin kebajikan pemain. Hal ini kerana sebelum ini terdapat pasukan yang bertanding bergelut dari segi kewangan, sebab kita perlu faham e-sukan ini memerlukan perbelanjaan yang besar.
“Dengan pembaharuan ini, sudah pasti penganjur liga akan memilih pasukan yang benar-benar stabil terutama dari sudut kewangan. Mungkin selepas ini pasukan yang bertanding tidak akan berdepan masalah kewangan,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Terdahulu, media melaporkan pasukan Aero Esports dikenakan larangan seumur hidup daripada menyertai saingan MPL MY selepas didapati mempunyai tunggakan kewangan sejak Oktober 2025.
Selain itu, pasukan berkenaan turut didapati melakukan beberapa pelanggaran kontrak sepanjang musim ke-15 dan ke-16.
Dalam pada itu, Soloz percaya struktur liga berasaskan kerjasama yang akan diperkenalkan kelak bakal menjadikan saingan MPL MY semakin kompetitif.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan lebih ramai bakat baharu daripada judul permainan itu dapat dilahirkan pada masa hadapan.
“Sebagai contoh, jika pasukan dari luar menyertai MPL MY, sudah pasti mereka akan menyediakan fasiliti yang lebih baik berbanding sebelum ini.
“Jadi, perkembangan ini secara tidak langsung menjadikan liga semakin sengit dan berkembang secara sihat. Dari sini juga mungkin akan lebih ramai pemain berbakat dapat dilahirkan,” katanya. – Bernama