SUNGAI SIPUT – Misteri kematian anak lembu milik seorang penternak di Felda Lasah, Sungai Siput terjawab apabila seekor harimau kumbang berjaya masuk ke dalam perangkap yang dipasang oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak pada malam Jumaat.
Pengarah Perhilitan negeri, Yusoff Shariff berkata, pihaknya menerima aduan mengenai serangan haiwan liar itu pada pagi Jumaat.
Menurutnya, susulan aduan tersebut, perangkap telah dipasang pada petang hari yang sama di lokasi yang dilaporkan.
“Hasilnya, seekor harimau kumbang betina dengan anggaran usia antara empat hingga lima tahun berjaya ditangkap.
“Harimau ini kemudiannya telah ditranslokasi ke kawasan lain,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Sementara itu, pemilik ternakan, Aidil Hazwan Bokhari, 34, bersyukur kerana kerisauannya selama ini terjawab.
Menurutnya, serangan harimau memang sering berlaku di kawasan tersebut kerana beberapa penternak lain turut pernah mengalaminya.
“Semalam, semasa melepaskan lembu, saya perasan seekor anak lembu hilang. Tidak lama kemudian, saya menemui bangkainya di dalam ladang kelapa sawit dalam keadaan tidak sempurna.
“Selepas membuat laporan, pihak Perhilitan terus memasang perangkap dan menggunakan bangkai anak lembu itu sebagai umpan. Hasilnya, malam tadi (Jumaat), harimau kumbang itu masuk ke dalam perangkap,” katanya.
Jelas Aidil Hazwan, kejadian itu bukan pertama kali berlaku kerana sejak keluarganya mengusahakan ternakan tersebut lebih 20 tahun lalu, beberapa ekor lembu telah menjadi mangsa haiwan liar.
Katanya, binatang buas itu memburu haiwan ternakannya yang disimpan dalam kawasan kandang.
Menurutnya, ketika ini lebih 100 ekor lembu dan kambing diternak bersama ahli keluarganya.