Reformasi keadilan tidak lagi boleh ditangguh

Iklan
Mohamad Ezri Abdul Wahab

MAJLIS Peguam Malaysia menegaskan bahawa pembaharuan sistem keadilan negara tidak lagi boleh ditangguhkan sekiranya Malaysia mahu memantapkan kedaulatan undang-undang, meningkatkan kepercayaan awam serta memastikan akses kepada keadilan untuk semua.

Menurut Presidennya, Datuk Mohamad Ezri Abdul Wahab, landskap perundangan negara kini berada pada tahap yang stabil, namun memerlukan suntikan pembaharuan struktural bagi mengembalikan keyakinan masyarakat terhadap ketelusan institusi keadilan.

Iklan
Iklan

Antara reformasi paling kritikal yang perlu diselesaikan dalam tempoh 12 bulan ialah pemisahan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya, satu langkah yang disifatkan beliau sebagai keperluan mutlak dan bukan lagi pilihan.

Dalam masa sama, Majlis Peguam menuntut pemansuhan undang-undang lapuk seperti Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) yang disifatkan membuka ruang penyalahgunaan serta bercanggah dengan prinsip keadilan moden.

Iklan

Beliau turut menyentuh penerimaan masyarakat terhadap Ketua Hakim Negara yang baharu, selain persoalan berhubung pelantikan Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd Salleh ke dalam Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) yang menurutnya perlu diberikan penjelasan lanjut.

Ikuti wawancara eksklusif bersama Mohamad Ezri yang dikendalikan penulis khas Sinar Harian, FARAH SHAZWANI ALI, bersama jurufoto ASRIL ASWANDI SHUKOR.

Iklan

SINAR HARIAN: Pemilihan Majlis Peguam 2026-2027 baru-baru ini hanya mencatat 15 peratus kertas undi dikembalikan, terendah dalam lima tahun. Kenapa situasi ini berlaku atau wujud jurang antara kepimpinan Majlis dengan peguam di lapangan?

MOHAMAD EZRI: Sebenarnya, memang benarlah dalam masa lima tahun, ini adalah jumlah undi yang paling rendah kita dapat. Kita menghantar kertas undi kepada semua ahli yang layak iaitu lebih daripada 25,000 orang melalui pos dan mereka perlu mengundi dan menghantar balik melalui pos.

Cuma apa yang kita tak buat ialah kempen. Sebelum ni, ada kempen-kempen yang dilaksanakan oleh ahli-ahli kita. Mungkin ada kesedaran proses mengundi itu sedang berlangsung, tapi kali ini ia agak senyap kerana tidak ada kempen. Masing-masing calon mungkin hanya beritahu pada kawan sahaja bahawa ada pengundian dan sebagainya.

Itu mengakibatkan pengundian kali ini kurang, iaitu hanya kira-kira 15 peratus. Bagaimanapun, itu tak menandakan apa-apa, sama ada kerana kita tidak sedar atau berhubung dengan ahli kita, itu tidak bermakna sedemikian. Kita ada macam-macam program yang kita laksanakan untuk mendekatkan diri kita dengan ahli-ahli kita.

Mohamad Ezri Abdul Wahab

Sebab apa kali ini tidak ada kempen untuk ke lapangan?

Hakikatnya, kempen ini hanyalah untuk parti-parti politik. Saya rasa semua ahli yang bertanding tersebut sedar bahawa kita ini bukannya sebuah parti politik. Jadi, oleh kerana itu, kita tidak patutlah bertanding seakan-akan sebuah parti politik.

Kesedaran itu sebenarnya adalah satu perkembangan yang baik, saya puji semua anggota yang bertanding.

Masing-masing hanya menggunakan kekuatan mereka, kelebihan mereka, kawan-kawan mereka. Apa yang mereka telah laksanakan, dijadikan sebagai panduan atau kekuatan untuk mereka menerima undian.

Ada pandangan mengatakan Majlis Peguam terlalu elit, tidak inklusif dan lebih sibuk dengan isu nasional berbanding isu teknikal yang menjejaskan kehidupan peguam biasa. Apa respons Datuk?

Saya akui persepsi itu wujud kerana ada ketika apa yang dilaksanakan Majlis Peguam tidak difahami sepenuhnya oleh ahli. Sebab itu, sebagai Presiden, saya memberi fokus kepada tiga teras utama.

Pertama ialah fungsi kawal selia, termasuk mendisiplinkan ahli, memerangi salah laku seperti rasuah serta memperkukuh pematuhan profesional.

Kedua, kebajikan ahli, yang sebelum ini kurang ditonjolkan walaupun pelbagai inisiatif telah dilaksanakan, termasuk perlindungan insurans, sokongan kesihatan mental dan kaunseling.

Ketiga, program sokongan berstruktur seperti khidmat kaunseling percuma sehingga lima sesi, serta dua inisiatif baharu iaitu Peer Support Network (PSN) dan LAWA, bagi membantu ahli yang berdepan tekanan atau kesukaran mendapatkan sokongan.

Dalam masa sama, Majlis Peguam terus memperkukuh agenda hak asasi manusia dan kedaulatan undang-undang, selain melancarkan Pro Bono Hub untuk memudahkan rakyat mendapatkan bantuan guaman.

Dengan lebih 25,000 ahli dan kepelbagaian minat, kami berusaha menyediakan ruang agar semua boleh terlibat dan menyumbang kepada masyarakat.

Ada pandangan bahawa Majlis Peguam terlalu ‘political’, lebih vokal terhadap kerajaan atau pembangkang berbanding isu profesionalisme peguam. Bagaimana Datuk menjawab persepsi ini?

Di Majlis Peguam, kita tidak memihak tetapi bila kata kita tidak memihak, semestinya apa-apa pendapat yang disuarakan akan diambil oleh orang yang hendak mengambil kesempatan.

Jadi, bila kita cakap A, orang yang nak kita cakap A, akan ambil kesempatan atas benda itulah ataupun sebaliknya bila kita cakap B. Tapi, hakikatnya yang dikatakan atau suarakan, demi kepentingan masyarakat.

Kita hanya menyatakan benda-benda yang meliputi permasalahan berkenaan dengan rakyat dan ahli-ahli kita.

Jika dibaca kembali semua kenyataan-kenyataan akhbar yang dibuat, kita amat konsisten bahawa yang disuarakan adalah kepincangan, sama ada pelaksanaan atau pendapat atau apa yang dilaksanakan, itu saja yang kita suarakan.

Kita hendak semua benda mengikut lunas undang-undang, kedaulatan undang-undang tu perlu kita pegang secara hakikat. Kita tidak boleh ada kompromi di situ.

Bagaimana Datuk melihat keadaan semasa sistem keadilan negara? Adakah ia berada pada tahap stabil atau semakin goyah dari segi kepercayaan awam?

Bagi saya, setakat hari ini keadaan kehakiman kita amat stabil dan saya tidak nampak apa-apa yang disuarakan oleh masyarakat selepas pelantikan Ketua Hakim Negara (Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh) dan semua jawatankuasa iaitu Hakim Besar Malaya dan empat hakim Mahkamah Persekutuan.

Saya tak dengar desas-desus atau apa-apa yang dinyatakan tentang mereka ini memihak atau sebagainya.

Ini amat penting bagi negara sebab keadilan ini bukan hanya untuk kita nikmati tetapi perlu diperlihatkan kepada masyarakat luar negara kerana ia akan memberi kesan bahawa negara kita ini amat adil.

Cuma ada dua, tiga perkara yang kita suarakan terutama tentang pelantikan Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd Salleh sebagai anggota Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC), yang mana kita rasakan perlu diberi sedikit maklumat tambahan dan penjelasan kenapa ia dilaksanakan dan sebagainya.

Bukan untuk mengkritik tetapi lebih kepada keperluan supaya kepercayaan kepada perundangan kita ini tidak terhakis.

Pandangan Datuk secara peribadi terhadap Ketua Hakim Negara sekarang?

Saya amat percaya dan kagum dengan beliau. Baru-baru ini, saya dengar Wawancara Bersama Ketua Hakim Negara selepas 100 hari dan apa yang dinyatakan itu adalah sama dengan inspirasi Majlis Peguam kerana pentingnya tentang keadilan ini yang perlu nampak dilaksanakan.

Kedua, perlu ada akses kepada keadilan tersebut. Itu adalah dua perkara yang paling penting dalam keadilan ini diambil berat oleh Ketua Hakim Negara.

Pada pandangan Datuk, apakah isu paling kritikal dalam sistem perundangan ketika ini yang memerlukan perhatian segera kerajaan?

Salah satunya ialah undang-undang lapuk yang tidak bersesuaian dengan keadaan perundangan semasa atau industri perundangan semasa. Dalam Majlis Peguam Malaysia ini, kita ada pelbagai resolusi. Salah satu resolusi kita ialah untuk menghapuskan undang-undang lapuk, salah satunya adalah SOSMA atau Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas).

Macam SOSMA sendiri, apa kepincangannya, mungkin ada ruang untuk penyalahgunaan?

Satunya ialah tentang ada ruang ke atas penyalahgunaan tetapi itulah perbahasan yang akan berlanjutan sampai bila-bila tentang keselamatan dan keadilan.

Sepatutnya keselamatan dan keadilan ini adalah perkara yang satu tetapi kita bahagikan, mungkin atas sebab-sebab yang kita rasa perlu dibahagikan tetapi daripada pandangan Majlis Peguam, ia adalah sama.

Satu, kita inginkan keselamatan dan kita inginkan juga keadilan kepada semua orang dan ia boleh dilaksanakan. Sekiranya ia tidak boleh dilaksanakan, ia tidak menjadi satu prinsip perundangan antarabangsa. Sebenarnya, ia boleh dilaksanakan, ada kaedahnya cuma kita perlu lebih memikirkan bagaimana ia perlu dilaksanakan.

Berkait kes berprofil tinggi, kalau kita lihat beberapa keputusan sebelum ini menimbulkan persoalan mengenai ketelusan dan konsistensi. Pada pandangan Datuk, adakah benar wujud amalan ‘double standard’?

Saya tak boleh nyatakan sama ada benar atau tidak tetapi sebab itulah kita perlukan pemisahan Peguam Negara dan Pendakwa Raya kerana apabila ia dipisahkan, akan ternampaklah keputusan itu lebih jelas dan nyata.

Sekarang ini, ia kabur kerana Peguam Negara dan Pendakwa Raya adalah orang yang sama. Jadi, kita nak terima sesuatu keputusan pun, ia seperti berbaur tidak adil atau tidak saksama. Itu masalahnya.

Jadi, kalau kita pisahkan antara dua jawatan ini, Insya-ALLAH perkara ini tidak akan berlaku, tidak ada lagi kerisauan dan sebagainya. Hakikatnya, memang ada perkara-perkara sebegini berlaku dan diputuskan oleh Peguam Negara tapi apabila beliau melakukannya ke atas kes-kes yang besar, kita jadi sangsi. Bukan sebab apa yang dilakukan, tapi sebab kes itu berprofil tinggi.

Mohamad Ezri Abdul Wahab

Apakah pendirian Majlis Peguam terhadap pengguguran, pengurangan atau pindaan pertuduhan melibatkan tokoh berpengaruh?

Kita masih berpendapat bahawa ia perlu diberi penjelasan kerana penjelasan saja boleh menghapuskan sebarang tohmahan ataupun spekulasi.

Kalau tak ada diterangkan mengapa ia dilaksanakan dan sebagainya, maka pelbagai spekulasi akan dibuat, pelbagai cerita akan diceritakan. Perkara itu tidak elok atau tidak baik untuk proses perundangan kerana proses perundangan ini perlu dilihat adil.

Apabila banyak dikongsi cerita dan dibahaskan di media sosial dan sebagainya, ia memberi satu tanggapan perkara ini adalah tidak baik atau tidak betul atau tidak patut dilakukan.

Sebenarnya, kalau ikut sejarah Peguam Negara, dalam kes Serba Dinamik dahulu, Majlis Peguam dan beberapa ahli Parlimen ada menyuarakan mengapa kompaun diberikan dan tidak meneruskan dengan tindakan undang-undang.

Peguam Negara ada membuat satu kenyataan menerangkan mengapa ia tidak dilakukan sedemikian. Jadi, sebenarnya bukanlah suatu benda yang tidak pernah dilaksanakan. Ada ‘precedent case’ yang telah dilakukan oleh Peguam Negara kita.

Berkenaan dengan kebebasan media dan aktivis, Malaysia dilihat banyak mengambil tindakan terhadap agensi media, aktivis dan pengguna media sosial. Adakah ini satu perkembangan yang membimbangkan?

Bagi saya, kebebasan media ini patut kita jaga kerana ia merupakan satu cabang ‘check and balance’.

Kalau tak ada media, tak ada benda yang media laporkan, tidak ada benda yang media siasat dan sebagainya, ia memberi kelebihan kepada pihak-pihak yang melakukan kesalahan kerana ia tidak dapat diceritakan atau disuarakan atau diberitahu kepada masyarakat.

Jadi, kebebasan media bagi pendapat Majlis Peguam adalah penting dan perlu dijaga. Oleh kerana itu, apabila diadakan Majlis Media Malaysia, kita sokong cuma kita rasa ia boleh diperbaiki.

Adakah Datuk merasakan perlu penggubalan satu akta khusus untuk melindungi kebebasan media?

Saya rasa perlu, sebab ada perkara-perkara yang boleh kita perkukuhkan dalam institusi media. Tapi itulah, walau apa pun kita nak laksanakan, ia perlu dilaksanakan oleh orang dalam media itu sendiri.

Tidak boleh kata ambil orang luar datang dan beritahu, ini tak boleh kerana orang media saja tahu bagaimana proses pelaksanaannya. Bagi saya, kita perlu menganggap bahawa orang dalam media ini adalah orang profesional, sama macam badan-badan profesional yang lain. Jadi, mereka perlu ‘independent’ dan perlu menjaga ahli-ahlinya secara sendiri, tak perlu orang-orang luar masuk campur.

Apakah tiga reformasi paling kritikal yang perlu dilaksanakan dalam tempoh 12 bulan bagi memperkukuh sistem keadilan negara?

Salah satunya adalah pemisahan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya.

Ini adalah satu perkara yang disuarakan oleh majoritilah masyarakat sivil di Malaysia, termasuk Majlis Peguam. Bagi kita, ia memang satu keperluan, bukannya satu benda yang buat pun tak apa, tak buat pun tak apa. Ia perlu dilaksanakan kerana ia akan banyak menyelesaikan pelbagai masalah di dalam krisis kepercayaan tentang undang-undang.

Kedua, kita perlu mansuhkan semua undang-undang lapuk termasuk SOSMA.

Ketiga, satu benda yang dekat di hati saya iaitu kita perlu buat pindaan kepada Perlembagaan Malaysia dengan memasukkan perkataan ‘disability’ di dalam Artikel 8 untuk melindungi orang yang kurang upaya (OKU) di negara kita.

Ada undang-undang yang ada di negara ini, tetapi ia tidak boleh berkuat kuasa sekiranya perkataan ‘disability itu’ dimasukkan di dalam Artikel 8 Perlembagaan Persekutuan.

Sebenarnya, masyarakat orang kurang upaya termasuk kanak-kanak terutamanya, perlu ada banyak lagi perkembangan, pelaksanaan dan fokus terhadap golongan ini. Bila kita cakap tentang masa depan, tentang apa akan jadi pada Malaysia dan sebagainya. Ini adalah sebahagian daripada masa depan kita.