DALAM era meteorologi moden, ramalan cuaca kini bergantung pada gabungan analisis data, teknologi pengkomputeran berprestasi tinggi dan kefahaman mendalam terhadap atmosfera tropika.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, rakyat berdepan kejadian puting beliung, hujan batu, gelombang haba, banjir luar musim dan ribut tropika seperti yang melanda Banting dan Port Dickson baru-baru ini.
Fenomena seperti ini semakin kerap dan di luar jangkaan. Apakah puncanya? Dan sejauh mana kita mampu bertindak lebih awal sebelum bencana melanda?
Ikuti wawancara eksklusif bersama Ketua Pengarah MetMalaysia, Dr Mohd Hisham Mohd Anip bersama penulis khas Sinar Harian, KHAIRIL ANWAR MOHD AMIN serta jurufoto, HALIM WAHID, bagi menjawab persoalan besar, kenapa cuaca Malaysia tidak lagi ikut musim?
SINAR HARIAN: Malaysia kini memasuki Monsun Timur Laut serentak dengan pengaruh La Nina. Sejauh mana kombinasi ini berisiko mencetuskan corak hujan luar biasa dan banjir?
DR HISHAM: La Nina bukan fenomena baharu dan telah berlaku berulang kali. Dalam buku teks, La Nina (anomali lembap) dan El Nino (anomali kering) saling bertukar kitaran dua hingga tujuh tahun. Cuma sejak kebelakangan ini, setiap kali berlaku La Nina, keadaan cuaca menjadi unik dan tidak sama seperti sebelum ini. Tahun ini La Nina lemah berbanding 2021 yang lebih kuat dan panjang, di antara enam hingga 18 bulan serta berlaku pada tiga kali musim ditambah impak Monsun Timur Laut.
Permulaan La Nina sudah dikesan awal tahun dan semakin jelas pertengahan tahun sebelum memuncak di hujung tahun. Apabila La Nina memuncak serentak dengan Monsun Timur Laut, cuaca menjadi sangat aktif. Bila kita sebut cuaca aktif, negara terdedah kepada penumpuan cuaca melibatkan kawasan tekanan rendah dan angin luruan yang kuat.
Tekanan rendah ini ibarat parit yang mengumpul air. Dalam konteks atmosfera, bila ada tekanan rendah, udara akan bertumpu ke kawasan itu. Jika udara lembap, ia akan membawa hujan yang banyak. Jika udara kering, tiada apa-apa berlaku. Minggu lepas, hujan lebat di kawasan sempadan Malaysia–Thailand menyebabkan banjir besar di Selatan Thailand. Pada masa itu, bibit ribut tropika mula timbul.
Bila kawasan tekanan rendah itu ditolak pula oleh angin luruan monsun dari Tanah Besar China dengan kelajuan angin sangat tinggi, udara sejuk berinteraksi dengan udara panas di sini. Itu yang mencetuskan hujan lebih banyak di Thailand, Kelantan dan Perlis serta akhirnya membentuk lekukan tropika sebelum menjadi ribut tropika yang dinamakan Ribut Senyar.
Adakah risiko ribut tropika seperti Senyar akan kembali melanda Malaysia pada masa hadapan?
Malaysia bukan laluan utama ribut tropika, tetapi kesan tidak langsung tetap ada. Siklon tropika yang aktif di Filipina boleh memberi kesan hujan lebat di Sabah. Kadang-kadang ekor taufan boleh memberi kesan kepada Semenanjung, Sarawak dan Sabah. Kita melihat sendiri bagaimana Senyar memusnahkan kawasan di Sumatera sebelum ia melemah ketika mendarat di Banting dan Port Dickson. Kita sudah tengok kesannya memang sangat dahsyat. Tahun 2021 pun berlaku lekukan tropika yang menyebabkan banjir besar di Selangor. Jadi risiko ini bukan asing, cuma orang ramai kurang cakna kerana jarang berlaku. Sebab itu kita ambil langkah proaktif keluarkan amaran awal supaya rakyat tidak menunggu saat akhir.
Apakah indikator saintifik utama yang menunjukkan risiko banjir dan hujan ekstrem tahun ini lebih tinggi berbanding sebelumnya?
Pertama La Nina yang memberi hujan lebih banyak terutama di Sabah. Kedua, Indian Ocean Dipole (IOD) negatif menjadikan kawasan kita sangat panas. Ketiga, luruan angin monsun. Ada satu lagi indikator iaitu Ayunan Madden-Julian (MJO) yang membawa fasa lembap dan kering. Kebetulan ketika fenomena “tiga dalam satu” berlaku serentak minggu lalu, fasa MJO adalah kering. Secara umum episod hujan lebat tahunan purata lima kali setiap musim. Tahun ini dijangka lima hingga tujuh kali disebabkan La Niña.
Adakah ini bermaksud cuaca Malaysia tidak lagi mengikut kitaran musim seperti dulu?
Jumlah hujan tahunan sekitar 3,000 mm tetapi taburannya berubah. Bila hujan berlaku, ia sangat lebat tetapi tempoh singkat. Musim panas pula lebih panas dengan suhu makin kerap melebihi 35°C. Senario hujan ekstrem berlaku sangat lebat tetapi singkat. Jumlah hujan sama, tetapi taburan ekstrem, sama ada hujan lebat atau cuaca kering.
Malaysia juga kini mengalami gegaran gempa bumi kecil. Adakah itu kebimbangan tambahan kepada ancaman cuaca ekstrem?
Ancaman gempa di Semenanjung adalah sangat minimum. Gempa yang berlaku seperti di Segamat berpunca daripada pengaktifan semula Sesar Mersing akibat tekanan tektonik serantau. Kawasan itu memang ada kesan parut gempa. Kekuatan gempa bumi di Semenanjung jika berlaku pun di bawah magnitud lima. Tenaga terlepas itu tidak tersebar ke merata-rata.
Ia hanya melibatkan kawasan yang pernah terkena gempa. Ia juga tertakluk kepada kawasan seperti Johor, Perak, Kedah dan Bentong. Dari segi ancaman, bangunan-bangunan kita dibina untuk gegaran lemah, jadi secara keseluruhan risikonya sangat minimum. Namun dari segi siklon tropika, kita tetap perlu bersedia kerana kesannya tetap ada walaupun tidak kerap.
Selepas banjir besar 2021 yang mengejutkan negara, apakah peningkatan ketepatan ramalan, ‘lead time’ dan koordinasi antara agensi yang berjaya dicapai MetMalaysia?
Dari segi ketepatan, di peringkat global pun usaha meningkatkan ketepatan ramalan telah sampai tahap tepu. Kita perlu ubah teknologi dan kaedah analisis. Mungkin kecerdasan buatan (AI) boleh membantu. Sejak 2021, MetMalaysia dapat peruntukan besar untuk membangunkan sistem baharu. Bila kita ada sistem dan mesin yang lebih besar, kita dapat proses data daripada pelbagai sumber dan cuba pelbagai model. Setiap model ada kelebihan tersendiri, jadi kita tidak boleh bergantung pada satu sumber sahaja.
Minggu lepas ramai yang berkongsi ramalan awal mengenai Senyar, tetapi sumber-sumber itu biasanya ekstrem dan belum sahih. MetMalaysia kena lihat semua kemungkinan dulu. Apabila mendapat persetujuan berdasarkan semua maklumat, barulah amaran dikeluarkan. Sebab itu normal bagi MetMalaysia mengeluarkan amaran dalam tempoh satu hingga tiga hari sebelum kejadian. Memang kalau boleh kita mahu keluarkan lebih awal, tetapi analisis tiga hari itu penting untuk pastikan maklumat tepat dan lokasi betul.
Dari sudut teknologi ramalan cuaca, di mana kedudukan Malaysia berbanding negara seperti Jepun atau Korea Selatan?
Negara maju seperti Amerika Syarikat, Britain dan Eropah mempunyai bilangan saintis sangat ramai. Untuk kendalikan satu model ramalan cuaca sahaja, mereka perlu sekurang-kurangnya 200 saintis. MetMalaysia pula mempunyai kurang daripada 10 penyelidik. Pelaburan mereka sangat besar. Contoh, United Kingdom peruntukkan satu bilion pound sterling untuk sebuah superkomputer ramalan cuaca dunia.
Mesin mini superkomputer kita yang diperoleh pada 2017 bernilai sekitar RM50 juta dan pernah menjadi yang paling berkuasa di Asia Tenggara dengan teknologi Lenovo. Kita dijadikan penanda aras pengeluaran superkomputer mini mereka. Tetapi teknologi berkembang sangat cepat dan kita perlukan mesin dua kali atau tiga kali lebih besar daripada yang ada sekarang. Dengan peruntukan baharu ini, kita harap dapat beri amaran lebih awal dan tepat.
Bagaimana pula dengan potensi AI dalam meningkatkan sistem ramalan cuaca negara?
AI masih sangat baru dalam bidang ini. WMO pun baru nak menggalakkan penggunaannya. China memang jauh ke hadapan dengan teknologi AI, tetapi ketepatan produk mereka tidak begitu sesuai dengan keperluan kita kerana cuaca tropika ini sangat kompleks. Jadi kita lebih ambil produk daripada negara yang ketepatannya lebih tinggi. Dalam sistem baharu nanti, kita akan masukkan unsur AI untuk bantu analisis lebih cepat. Namun kita masih dalam peringkat kajian dan pelaksanaan kerana belum nampak sejauh mana AI boleh mantapkan ketepatan ramalan.
Bagaimana tahap kesedaran rakyat terhadap amaran cuaca, dan adakah sikap masyarakat mempengaruhi risiko keselamatan?
Secara umum, cuaca Malaysia ini hujan dan panas. Jadi mungkin itu sebab rakyat ambil mudah. Tetapi bila masuk musim Monsun Timur Laut, penduduk Pantai Timur, Sarawak dan Sabah memang bersedia kerana setiap tahun berdepan banjir. Masalahnya ialah kawasan yang jarang terkena banjir. Pada 2021, bila banjir berlaku, penduduk tak pasti nak pindah atau tidak. Di sinilah peranan MetMalaysia dan agensi bencana perlu lebih agresif mendidik masyarakat supaya tidak menunggu saat akhir untuk berpindah ke kawasan selamat.
Apakah ancaman cuaca terbesar kepada Malaysia dalam tempoh lima hingga 20 tahun akan datang?
Berdasarkan laporan pemanasan global, suhu dunia setiap tahun berpotensi meningkat. Peningkatan suhu mungkin mencapai +2°C jika tidak dikawal, sedangkan dunia kini berjuang untuk pastikan suhu tidak melebihi 1.5°C. Kalau lihat ancaman terbesar, ia adalah gelombang haba ekstrem. Trend suhu melebihi 35°C dijangka menjadi normal baharu. Ia beri kesan besar kepada hidupan darat dan laut. Contohnya, Cameron Highlands dulu sejuk, sekarang sudah tidak lagi begitu sejuk.
Pemanasan global menyebabkan coral bleaching serta ikan dan hidupan laut bergerak ke kawasan lebih dalam. Ini menjejaskan pendapatan nelayan. Corak cuaca kita turut berubah: hujan masih jumlah sama setiap tahun tetapi taburan ekstrem — bila hujan, sangat lebat dalam tempoh singkat, selebihnya kering. Musim panas kini lebih panas dan lebih lama. Risiko gelombang haba akan semakin kerap terutama awal tahun.
Adakah risiko banjir bandar seperti 'urban flash flood' kini semakin membimbangkan?
Ya. Reka bentuk saliran dan perparitan lama dibuat berdasarkan cuaca ketika itu, bukan cuaca ekstrem sekarang. Bila hujan lebat singkat, terutama jika longkang tersumbat, banjir kilat boleh berlaku dalam masa sangat singkat. Dalam mesyuarat pengurusan bencana negara, saya selalu beri penekanan tentang penyelenggaraan saliran. Kalau reka bentuk sudah tak efisien tetapi penyelenggaraan pun tidak dibuat, masalah akan jadi lebih teruk.
Masalah pokok reput di kawasan bandar juga ancaman baharu. Pokok besar yang tidak dipantau boleh tumbang semasa ribut. Jadi peranan pihak berkuasa tempatan dan masyarakat umum sangat penting.