MENITI usia 25 tahun sebagai sebuah bandar raya, Shah Alam kini berdiri megah menjadi nadi kemajuan dan simbol kematangan pentadbiran tempatan di Selangor.
Dari ladang kelapa sawit dan getah di Sungai Renggam suatu ketika dahulu, Shah Alam kini muncul sebagai bandar moden dengan identiti tersendiri yang menekankan kesejahteraan rakyat dan pembangunan lestari.
Sepanjang tempoh pentadbiran oleh pihak berkuasa tempatan, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), pelbagai pembaharuan dilaksanakan termasuk memperkukuh kesejahteraan komuniti, menyediakan perumahan mampu milik berkualiti selain memperluas infrastruktur hijau dan sistem bandar bebas banjir.
Ikuti temu bual wartawan Sinar Harian, Mohd Izzatul Izuan Tahir bersama Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd Fauzi Mohd Yatim dalam wawancara khas sempena Sambutan Jubli Perak 25 Tahun MBSA.
SINAR HARIAN: Datuk, tahun ini Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menyambut ulang tahun ke-25 atau Jubli Perak. Boleh kongsi makna sambutan ini kepada warga Shah Alam?
MOHD FAUZI: Sambutan Jubli Perak, 25 tahun penubuhan MBSA sebagai sebuah majlis bandar raya, sama seperti kita menyambut ulang tahun kelahiran. Ia mempunyai makna tersendiri kerana menandakan tempoh perjalanan dan kematangan sesebuah organisasi.
Bagi saya, 25 tahun ini cukup signifikan bukan hanya untuk warga Shah Alam, tetapi juga kepada negeri Selangor secara keseluruhannya. Ia menggambarkan sumbangan besar MBSA terhadap pembangunan ekonomi, sosial dan kesejahteraan bandar raya ini.
Kalau kita lihat sejarah Shah Alam sendiri, bagaimana asal-usul sehingga menjadi bandar raya seperti hari ini?
Shah Alam pada asalnya dikenali Sungai Renggam sekitar 1963, kerajaan Persekutuan ketika itu bercadang menjadikan Kuala Lumpur sebagai Wilayah Persekutuan dan ibu negara Malaysia.
Jadi, kerajaan negeri Selangor perlu cari kawasan baharu untuk dijadikan pusat pentadbiran negeri. Kawasan Sungai Renggam yang terletak strategik antara Petaling dan Pelabuhan Klang dipilih, ia hanya kawasan ladang kelapa sawit dan getah.
Pada 7 Disember 1978, Almarhum Sultan Selangor, Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah berkenan menamakan semula Sungai Renggam kepada Shah Alam dan pada masa sama diisytiharkan sebagai ibu negeri Selangor. Dari situlah bermulanya pembangunan pesat oleh Majlis Perbandaran Shah Alam (MPSA) sebelum dinaik taraf kepada MBSA pada 10 Februari 2000.
Apakah peranan MPSA dan kemudian MBSA dalam bangunkan Shah Alam?
Peranannya sangat besar kerana MPSA dahulu bertanggungjawab membangunkan Shah Alam sebagai bandar industri moden. Pelabur luar mula datang, industri bertaraf antarabangsa dibangunkan dan ini menjadikan Shah Alam nadi ekonomi Selangor.
Apabila MBSA ditubuhkan pada 2000, transformasi berlaku kerana kita bukan sahaja tadbir pembangunan fizikal, tetapi juga menekankan kesejahteraan komuniti, kelestarian dan pembangunan mampan.
Selepas 25 tahun bergelar bandar raya, apa kejayaan utama boleh Datuk kongsi?
Banyak pencapaian yang boleh dibanggakan. Dari segi penempatan, Shah Alam kini menjadi bandar dengan komuniti berkualiti dan selesa didiami.
Kita lihat kawasan pinggir seperti Elmina, Denai Alam, Alam Impian, Bukit Jelutong dan Kota Kemuning berkembang pesat dengan kemudahan moden.
Satu lagi pencapaian ialah penyediaan rumah mampu milik berkualiti di Selangor contohnya rumah RM250,000 tetapi dilengkapi dengan kemudahan asas seperti televisyen, mesin basuh dan dapur. Ini menunjukkan perancangan perbandaran kita dilakukan secara rapi supaya pembangunan tidak menekan penduduk sedia ada.
Dalam tempoh 25 tahun ini, apakah perubahan paling ketara yang Datuk lihat pada wajah Shah Alam?
Walaupun 25 tahun dianggap usia muda, tetapi impaknya besar. Shah Alam kini matang sebagai bandar raya moden dan makmur. Cabaran utama kami ialah memastikan penyampaian perkhidmatan berkualiti kepada penduduk.
Saya tekankan kepada 1,600 pegawai MBSA untuk memberi perkhidmatan bertaraf lima bintang kepada rakyat. Penduduk adalah pembayar cukai, jadi mereka berhak menerima perkhidmatan terbaik.
Apa fokus utama MBSA dalam Belanjawan MBSA 2026?
Bajet 2026 akan memberi tumpuan kepada penyelesaian isu semasa khususnya banjir kilat. Kita mahu atasi punca seperti sistem perparitan kecil atau penyelenggaraan longkang yang tidak konsisten.
Pendek kata, bajet ini akan bersifat people-oriented iaitu berasaskan keperluan sebenar rakyat, bukan sekadar projek besar yang tidak menyentuh masalah akar umbi.
Datuk banyak sebut soal banjir, apa strategi jangka panjang tangani isu ini?
Saya mahu jadikan Shah Alam bebas banjir. Kita sedang pertimbang pendekatan inovatif seperti konsep Sponge City iaitu bandar mampu serap air hujan.
Kawasan seperti Kampung Lombong dan Taman Sri Muda akan dikekalkan sebagai kawasan hijau agar dapat menyerap air semula jadi. Kita akan perketat syarat pemajuan termasuk paras ketinggian tapak, sistem saliran dan jarak dari sungai supaya pembangunan baharu tidak lagi menimbulkan banjir.
Apakah harapan Datuk untuk 25 tahun akan datang?
Harapan saya ialah menjadikan Shah Alam bandar contoh nasional yang bersih, hijau, bebas banjir dan mempunyai rakyat sejahtera.
Saya mahu naikkan prestasi daripada tiga kepada lima bintang. Belanjawan MBSA 2026 akan datang bertemakan ‘Bajet Realistik: Komuniti Sejahtera’ berteraskan keperluan sebenar rakyat.
Akhir sekali, apakah mesej Datuk kepada warga Shah Alam sempena sambutan Jubli Perak ini dan bagaimana ia diraikan?
Majlis Sambutan Jubli Perak ke-25 pada 10 Oktober 2025 di Dataran Kemerdekaan Shah Alam bermula jam 8 malam dijangka menghimpunkan seramai 10,000 pengunjung dan peserta.
Antara pengisian utama ialah larian neon, perbarisan agensi kerajaan, pertunjukan bunga api, persembahan aurora serta persembahan artis terkenal seperti Ernie Zakri, Ara Johari, Haziq Rosebi dan Datuk Jamal Abdillah termasuk kumpulan tarian antarabangsa Zeppo Youngsterz.
Sepanjang Oktober, MBSA turut tawar kempen pengurangan kompaun, parkir percuma untuk warga emas dan keahlian percuma perpustakaan bagi menggalakkan penyertaan komuniti.
Saya berharap warga Shah Alam terus mengekalkan identiti bandar ini sebagai bandar hijau, aman dan inovatif.