PUTRAJAYA - Sebarang cadangan berkaitan pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) mesti berpaksikan Perlembagaan Persekutuan, Rukun Negara dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan, sekali gus tidak boleh diputuskan berdasarkan tekanan politik atau tuntutan sempit mana-mana pihak.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, pendirian Kerajaan Madani kekal tegas bahawa kedudukan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan bahasa ilmu merupakan prinsip asas negara yang tidak boleh dikompromi serta terpakai kepada semua aliran pendidikan tanpa pengecualian.
Beliau berkata, selaras dengan penegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, semua aliran pendidikan termasuk Cina, Tamil, Arab, Inggeris dan sekolah antarabangsa wajib memastikan penguasaan kukuh terhadap Bahasa Melayu sesuai dengan kehendak Perlembagaan Persekutuan dan aspirasi nasional dalam pembentukan jati diri serta perpaduan negara.
“Di peringkat Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), kami akan terus memperkukuh hala tuju pendidikan tinggi negara yang inklusif, progresif dan berdaya saing.
"Penekanan akan diteruskan kepada penguasaan Bahasa Melayu sebagai bahasa teras, bahasa teknologi dan bahasa ilmu,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Menurut Zambry, usaha memartabatkan bahasa kebangsaan akan digerakkan seiring pemerkasaan Bahasa Inggeris serta bahasa lain termasuk Mandarin, Tamil, Arab dan bahasa-bahasa suku dengan matlamat melahirkan bakat nasional berkeupayaan multilingualisme, seimbang serta berakar pada nilai kenegaraan.
“Kita mahu memastikan graduan negara bukan sahaja fasih berbahasa, tetapi mampu memenuhi tuntutan dan cabaran global tanpa mengabaikan identiti kebangsaan,” tambahnya.