UEC boleh diiktiraf jika laksana dalam bahasa kebangsaan - Mohamad Hasan

Iklan
Datuk Seri Mohamad Hasan

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kerajaan tidak mempunyai masalah untuk mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) jika ia dilaksanakan dalam bahasa kebangsaan dan digubal menepati aspirasi nasional.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, selagi UEC tidak menepati ciri tersebut maka ia tidak boleh disetarakan dengan kelayakan nasional.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sebagai sebuah negara yang berdaulat sistem pendidikan mestilah dibina selaras aspirasi nasional.

"Ia mesti di sandarkan pada misi, nilai, kepentingan dan cita-cita nasional dan ia mesti dilaksanakan dalam bahasa ibunda bagi memperkukuh identiti kebangsaan.

Iklan

"Selagi tiada usaha mereformasi sistem UEC agar diharmonikan dengan aspirasi nasional, maka ia akan kekal sebagai sistem yang tidak setara dengan sistem pendidikan kebangsaan dan akan tidak perlu untuk diiktiraf dengan selayaknya," katanya pada Jumaat.

Media sebelum ini melaporkan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh menempelak DAP dengan menyasarkan kecamannya kepada Timbalan Pengerusi DAP, Nga Kor Ming, sambil menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi dengan tuntutan DAP berkait UEC.

Iklan

Ini susulan kenyataan Kor Ming yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan bahawa DAP akan meminta pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membincangkan pengiktirafan UEC.

Dalam pada itu Mohamad berkata, sebagai sebuah negara yang pelbagai kaum, bukanlah mudah untuk mengukuhkan perpaduan nasional.

Katanya, kerana itu beliau percaya, satu-satunya jalan bagi membentuk identiti nasional ialah melalui pendidikan dalam bahasa kebangsaan dan kurikulum yang direka bersumber kearifan tempatan dan diimbangi dengan standard antarabangsa.

"Kita lakukannya dengan mengambil kira agar standard kita tidak tersasar dari amalan terbaik antarabangsa.

"Bagi meraikan kepelbagaian dan meraikan kepentingan kaum berlainan, kerajaan tidak pernah menghalang UEC di laksanakan. Ia telah di laksanakan oleh Dong Zong semenjak 1975 lagi dan ia tidak menghadapi apa jua masalah pelaksanaan," katanya.

Beliau turut mengingatkan supaya pendidikan tidak dipolitikkan kerana ia adalah satu-satunya arena untuk anak-anak belajar dari pelbagai bangsa, belajar bekerjasama antara satu sama lain dalam semangat yang muhibbah.

"Jika rakyat Malaysia yang tidak meyakini misi pendidikan nasional itu, maka mereka mempunyai pilihan untuk belajar dalam sistem UEC. Itu tiada siapa akan menghalang.

"Tetapi janganlah kerajaan di paksa untuk mengiktiraf dan menyamaratakan kelayakan tersebut kerana ia tidak digubal untuk memupuk identiti dan keunikan sistem pendidikan nasional.

"Bagi tujuan kemasukan ke universiti, ia tidak menjadi masalah. Ia di terima di kebanyakan universiti di Malaysia dan diluar negara," katanya.