JOHOR BAHRU - Peguam Negara perlu segera tampil memberi penjelasan terbuka mengenai tindakan Pendakwa Raya menarik balik rayuan keputusan Mahkamah Tinggi yang membebaskan Datin Seri Rosmah Mansor dalam kes tuduhan pengubahan wang haram dan pengelakan cukai.
Ahli Parlimen Tebrau, Jimmy Puah Wee Tse amat kecewa dengan keputusan itu dan pada masa sama faham tindakan tersebut adalah dalam ruang kuasa yang diberikan oleh undang-undang di bawah Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan.
"Namun kes ini melibatkan kepentingan awam yang sangat besar, maka adalah lebih wajar jika Mahkamah Rayuan diberi ruang untuk membuat keputusan akhir tanpa dihentikan begitu sahaja melalui penarikan balik rayuan.
"Sehubungan itu, Peguam Negara perlu segera tampil memberi penjelasan terbuka berhubung alasan dan pertimbangan yang mendorong keputusan menarik balik rayuan ini.
"Ketelusan amat penting dalam kes ini bagi memastikan keyakinan rakyat terhadap institusi kehakiman dan sistem keadilan negara tidak terhakis, lebih-lebih lagi apabila kes tersebut melibatkan tokoh berprofil tinggi," katanya dalam kenyataan.
Pada Khamis, media melaporkan pendakwaan menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang melepas dan membebaskan Datin Seri Rosmah Mansor daripada 12 tuduhan pengubahan wang haram lebih RM7 juta dan lima kes gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Berdasarkan kepada Notis Penarikan Balik Rayuan bertarikh 9 Disember lalu, Pendakwa Raya memaklumkan pendakwaan tidak berhasrat meneruskan rayuan terhadap keseluruhan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang melepas dan membebaskan Rosmah daripada semua pertuduhan itu.
Notis itu menyatakan Pendakwa Raya selepas memberi notis untuk merayu pada 20 Disember tahun lalu selepas tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Tinggi, dengan ini tidak berhasrat untuk meneruskan rayuan berkenaan.
Berdasarkan surat Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan pula menyatakan sehubungan itu, pengurusan kes rayuan yang ditetapkan pada 22 Disember ini di lapangkan dan rayuan itu disifatkan terbatal sebagaimana diperuntukkan di dalam Aturan 73, Kaedah-Kaedah Mahkamah Rayuan 1994.