'Beli rumah sendiri, saya tak mampu' - Nelayan Pulau Pangkor lega dapat kediaman baharu

Iklan
Muhamad Asri (tengah) menerima kunci unit rumah di bawah projek PSN Pulau Pangkor fasa kedua yang melibatkan peruntukan keseluruhan RM16 juta.

LUMUT - Impian seorang nelayan muda untuk mempunyai kediaman sendiri tercapai apabila berjaya memiliki satu unit rumah di bawah projek Penempatan Semula Nelayan (PSN) Pulau Pangkor di sini.

Muhamad Asri Omar, 34, berkata, rumah baharu itu membolehkan dirinya merancang kehidupan dan masa depan dengan lebih baik, khususnya dalam membina keluarga yang stabil.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sejak berkahwin tujuh tahun lalu dia dan isteri menumpang hidup di kediaman bapa sebelum berpindah menyewa rumah kampung dengan kos kira-kira RM350 sebulan.

"Sekarang ni nak beli rumah sendiri memang susah dan saya tak mampu pun. Apabila kerajaan memberi bantuan ini, syukur Alhamdulillah. Rasa lega sangat.

Iklan

"Sekarang dengan rumah sendiri, saya hanya perlu membayar RM150 sebulan. Rumah ini ada tiga bilik dan dua bilik air, cukup untuk keluarga kecil saya," katanya yang telah menjadi nelayan sejak tujuh tahun lalu.

Terdahulu, penyerahan kunci PSN Pulau Pangkor disempurnakan Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun di Arena Terbuka Teluk Gedung, Pulau Pangkor.

Iklan

Hadir sama, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Muhammad Faiz Fadzil.

Dalam majlis itu, seramai 49 nelayan menerima kunci unit rumah masing-masing melibatkan peruntukan keseluruhan RM16 juta bagi fasa kedua.

Seramai 49 nelayan menerima kunci unit rumah masing-masing di bawah projek Penempatan Semula Nelayan (PSN) Pulau Pangkor fasa kedua melibatkan peruntukan keseluruhan RM16 juta.

Dalam sidang akhbar, Muhammad Faiz berkata, projek perumahan tersebut dijalankan dengan konsep sewa beli di mana setiap peserta perlu membayar bayaran bulanan untuk mengekalkan pengurusan dan penjagaan rumah.

“Harapan kami di LKIM adalah peserta yang diberikan rumah ini berdisiplin untuk membayar setiap bulan supaya pengurusan rumah dapat dikekalkan dalam keadaan baik.

"Kita utamakan nelayan muda dan galakan ini penting supaya mereka terus aktif di laut kerana peranan nelayan sangat kritikal,” katanya.

Beliau berkata, permintaan untuk projek perumahan nelayan masih tinggi di seluruh negara dan peruntukan sebanyak RM190 juta telah disediakan untuk projek di Perlis, Kedah, Perak, Melaka, Pahang, Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak.

“Daripada 13 projek, lapan telah siap dan lima lagi dalam proses pembinaan. Senarai menunggu juga wujud bagi projek-projek yang sedang dilaksanakan," tambahnya.

Sementara itu, Mohd Zolkafly dalam ucapannya berkata, projek PSN adalah hasil kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, LKIM dengan kerajaan negeri.

Ujarnya, pemilihan penerima dibuat secara telus melalui Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) bagi memastikan hanya mereka yang benar-benar layak menerima manfaat projek ini.

Projek PSN Pulau Pangkor dirangka khusus untuk menyediakan kediaman yang lebih teratur, selamat dan kondusif kepada komuniti nelayan.

"Secara keseluruhan, sebanyak 139 unit kediaman telah dibina di Teluk Baharu (Pulau Pangkor) dengan peruntukan RM24.4 juta.

"Sebahagian besar iaitu 90 unit, telah diserahkan pada tahun 2019 dan 2022. Pada hari ini (Khamis) pula, sebanyak 49 unit lagi diserahkan kepada penerima yang layak," katanya.

Dalam majlis yang sama, Mohd Zolkafly turut menyampaikan bantuan di bawah Program Insentif/Bantuan Peralatan Penangkapan Ikan (Touch Point) sebanyak RM450,000 kepada nelayan yang memerlukan.

Antara bantuan disalurkan termasuk enjin sangkut 30 kuasa kuda kepada 16 nelayan, tong insulasi dan jaket keselamatan kepada 72 nelayan, serta tong petrol, lampu suluh, lampu keselamatan, jaket keselamatan dan baju hujan kepada 56 nelayan dari Pulau Pangkor dan kawasan sekitarnya.

Turut disampaikan sijil Kursus COCMD di bawah Program Kampung Angkat Madani Kementerin Pengajian Tinggi kepada Pengerusi Persatuan Rekreasi Pangkor, Mohd Rizal Saimi dan replika cek kepada Pengarah Maritime Education Training Academy (META), Mohd Isnin Ismail.

Kursus tersebut membabitkan 102 peserta yang merupakan pengusaha bot pelancong Pulau Pangkor untuk mendapatkan lesen penuh pengendali bot pelancong dengan peruntukan RM300,000.