TELUK INTAN - Hospital Teluk Intan menafikan dakwaan tular di media sosial berlaku kejadian kehilangan bayi di hospital berkenaan pada Khamis.
Dalam satu kenyataan, pengurusan hospital menjelaskan situasi yang tular itu sebenarnya merupakan Latihan Simulasi Pengaktifan Kod Pink iaitu latihan berkala yang dijalankan bagi menguji tahap keselamatan dan kesiapsiagaan warga kerja dalam menangani insiden kehilangan bayi.
Menurut kenyataan tersebut, latihan dilaksanakan sepenuhnya sebagai simulasi melibatkan senario kehilangan bayi di wad bermula jam 11.30 pagi hingga 1 tengah hari.
"Ia bertujuan menguji keberkesanan tindakan segera pasukan keselamatan, kejururawatan, perubatan serta semua unit yang berkaitan,” katanya.
Sepanjang latihan berlangsung, semua pintu masuk dan keluar hospital dikawal sepenuhnya, manakala pasukan bertugas berjaya menamatkan simulasi dalam tempoh yang ditetapkan.
"Tiada sebarang insiden sebenar berlaku dan latihan seperti itu dijalankan secara berkala mengikut keperluan keselamatan hospital," katanya.
Pihak hospital turut merakamkan penghargaan kepada semua warga kerja hospital, orang awam dan pengunjung atas kerjasama yang diberikan sepanjang latihan simulasi tersebut dijalankan.
Terdahulu, tular satu hantaran di media sosial meminta orang ramai memberikan maklumat berkaitan seorang wanita yang dipercayai ada kaitan dengan kes hilang bayi di Hospital Teluk Intan.