Kaji struktur caj hospital swasta

Iklan
Kerajaan perlu mengawal caj hospital swasta untuk meringankan beban rakyat. Foto ini dijana AI (Gambar kecil: Rosli dan Balqis Jazimah)

SHAH ALAM - Kerajaan perlu mengambil langkah tegas untuk mengawal dan menyemak struktur caj hospital swasta yang dilihat tidak lagi seiring dengan kemampuan rakyat terutama pemegang polisi insurans perubatan.

Pekerja swasta, Rosli Mansor Ahmad Razali, 55, berkata, dalam keadaan ekonomi semasa, setiap sen dibelanja akan dinilai semula bagi memastikan kos perubatan yang dikeluarkan benar-benar berbaloi.

Iklan
Iklan

"Kadar caj rawatan di hospital swasta sememangnya terlalu tinggi dan tidak lagi mencerminkan kemampuan majoriti rakyat seperti pengalaman saya yang mana caj konsultasi doktor bagi lawatan di wad dikenakan lebih RM500, belum lagi caj lain.

"Meskipun mempunyai insurans peribadi dan syarikat, jumlah yang dikenakan lima tahun lalu itu dilihat agak tinggi dan tidak mustahil kadar itu kini jauh lebih tinggi," katanya.

Iklan

Menurut bapa kepada seorang anak itu, caj perubatan yang dikenakan hanya memberi manfaat kepada golongan berpendapatan tinggi serta mereka yang mempunyai perlindungan insurans perubatan kukuh.

"Sudah tiba masanya cadangan konkrit dibawa ke Kementerian Kesihatan dan dibahaskan di Dewan Rakyat agar penyelesaian tuntas dapat dicapai.

Iklan

"Langkah ini penting supaya golongan miskin bandar turut berpeluang menerima rawatan berkualiti di hospital swasta tanpa terbeban dengan kos melampau," ujarnya.

Bagi Balqis Jazimah Zahari, 40, meskipun mengetahui caj hospital swasta lebih tinggi, dia tetap memilih untuk mendapatkan rawatan umum di hospital berkenaan kerana fasiliti lebih selesa dan rawatannya yang cepat.

"Saya pernah menerima rawatan hipertiroid di sebuah hospital pakar dengan caj yang dikenakan sekitar RM2,000 untuk satu malam dan saya perlu bayar sedikit sahaja kerana mempunyai perlindungan insurans.

"Tetapi jika memerlukan pembedahan besar dengan caj tinggi, saya mungkin pergi mendapatkan rawatan di hospital kerajaan atau mengeluarkan kos untuk meningkatkan kadar premium insurans," katanya.

Pekerja swasta, Mohd Khairol Nizam Shuhaimi, 37, berkata, pihak kerajaan dan Persatuan Hospital Swasta Malaysia perlu duduk semeja bagi mencapai kata sepakat untuk menoktahkan isu caj hospital swasta tersebut.

"Walaupun mempunyai pilihan untuk mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan yang disediakan kerajaan, bagi pemilik insurans sudah tentu kita mahu menikmati rawatan 'premium' yang disediakan hospital swasta ini.

"Tetapi caj rawatan di setiap hospital pula berbeza jadi saya menyarankan agar harga perkhidmatan dan rawatan perlu diseragamkan," katanya.