KEPUTUSAN Prasarana Malaysia Berhad menunda operasi Laluan LRT Shah Alam bukanlah satu kelemahan, sebaliknya langkah bijak yang mempamerkan komitmen terhadap keselamatan dan pengalaman penumpang.
Dalam dunia pengangkutan awam, kestabilan sistem dan kebolehpercayaan operasi adalah perkara paling asas, jauh melebihi tarikh simbolik pembukaan.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Prasarana, Amir Hamdan menegaskan bahawa pihaknya tidak mahu membuka laluan secara tergesa-gesa tanpa memastikan sistem tren berfungsi dengan sempurna.
Beliau memberi contoh penting iaitu jika pintu tidak terbuka dan penumpang terpaksa turun di stesen seterusnya, perkara itu pastinya akan mencacatkan pengalaman penumpang LRT.
Pernyataan ini jelas menunjukkan bahawa pengalaman pengguna bukan sekadar perjalanan lancar, tetapi juga keselamatan yang terjamin.
Sepanjang dua bulan lalu, sebanyak 33 isu teknikal telah dikenal pasti dan kini telah diselesaikan melalui kemas kini perisian. Namun begitu, setiap patch masih memerlukan tempoh ujian bagi memastikan keberkesanannya.
Kerjasama dengan pembekal sistem isyarat antarabangsa, Siemens dan pembuat tren, CRRC, termasuk bantuan teknikal dari Jerman, menekankan bahawa projek ini berada di bawah pengawasan teknikal yang rapi. Semua langkah ini memastikan laluan LRT Shah Alam bukan sahaja stabil, tetapi juga selamat untuk semua penumpang apabila beroperasi kelak.
Keputusan menunda operasi jelas menunjukkan tanggungjawab Prasarana terhadap keselamatan orang ramai, bukannya sekadar memenuhi tarikh yang ditetapkan.
Pendekatan ini juga menafikan dakwaan bahawa kelewatan akan meningkatkan kos, kerana projek dijalankan di bawah kontrak kos tetap.
Sebagai pengguna, kita sememangnya berharap dapat menggunakan LRT ini secepat mungkin, namun keselamatan harus diutamakan.
Diharap dengan penangguhan ini, penumpang LRT laluan Shah Alam boleh mendapat pengalaman perjalanan LRT yang berkualiti tanpa kompromi apabila LRT ini dirasmikan nanti.