BEKAS Ketua Jurulatih Kedah Darul Aman (KDA) FC, Victor Andrag tampil mempertahankan haknya selepas mendakwa masih belum menerima tunggakan gaji melebihi RM300,000 daripada kelab tersebut.
Menurutnya, sepanjang berkhidmat musim 2024 sehingga pertengahan 2025, beliau hanya menerima bayaran bersamaan dua bulan gaji, manakala bakinya masih lagi tidak diselesaikan sehingga kini.
“Saya dah cuba minta secara baik. Saya WhatsApp, saya e-mel terus kepada pemilik KDA FC, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar. Saya beri tempoh sebulan, tetapi sampai hari ini tiada apa-apa maklum balas. Senyap saja,” katanya ketika ditemui di Stadium Sultan Abdul Halim, Alor Setar pada Rabu.
Victor, 49, yang kini mengendalikan Kedah FA dalam saingan Liga A1 Semi-Pro berkata, keadaan itu memberi tekanan besar kepada dirinya dan keluarga kerana terpaksa meminjam daripada adik-beradik untuk meneruskan kehidupan sebelum ini.
Jelasnya, beliau juga terpaksa menggunakan semua simpanan termasuk akaun fleksibel Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
“(Semasa bersama KDA FC) Saya ulang-alik Sungai Petani-Alor Setar, tampung makan minum, rumah, pendidikan anak, semua guna duit sendiri. Bila tak mampu bayar balik hutang saudara, kita rasa malu. Tapi saya diam hampir setahun lebih, sampai bila lagi perlu tunggu,” ujarnya dengan sedih.
Dakwa bekas kapten Hijau Kuning itu, banyak janji pembayaran akan dibuat ketika saingan liga sedang berlangsung, namun semuanya tidak ditunaikan selepas musim berakhir.
Victor turut meluahkan kekecewaan apabila melihat pengurusan KDA FC musim ini yang didakwanya mampu membayar gaji pemain-pemain baharu, tetapi masih gagal menyelesaikan tunggakan terhadap barisan jurulatih dan pemain yang pernah berbakti kepada kelab berkenaan sebelum ini.
“Semasa saingan liga, kami diberi harapan tiga bulan gaji, dua bulan gaji dan sebulan gaji. Tapi selepas habis liga, langsung tak ada apa-apa. Macam tak pernah ada masalah.
“Bila lihat gambar Tan Sri dengan pasukan baharu, kita yang berhutang ini terasa hati. Kami bawa pasukan tanpa import, kami berjuang sampai ke ‘Challenge Cup’, semua kerana janji. Tapi sampai hari ini, hak kami tak diselesaikan,” katanya.
Beliau memberitahu sudah ramai bekas pemain dan staf teknikal lain mengambil langkah melalui peguam dan saluran masing-masing bagi menuntut hak, namun masih tiada perkembangan positif daripada pihak pengurusan kelab.
Menurut Victor, beliau menamatkan kontraknya lebih awal pada Jun 2025 kerana sudah tidak menerima apa-apa maklum balas berhubung tuntutan gajinya, walaupun kontrak asal sepatutnya tamat pada Disember 2025.
“Saya bukan nak malukan sesiapa. Saya cuma minta hak saya. Kalau dalam tempoh diberikan masih tiada tindakan, saya akan buat laporan melalui Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan badan berkaitan seperti dinyatakan dalam e-mel terakhir saya.
“Bukan senang nak simpan duit zaman sekarang. Bila simpanan habis, hidup makin susah, peluang kerja pula makin terhad dalam bola sepak Malaysia. Itu sebab saya terpaksa bersuara,” tambahnya.
Victor berharap pengurusan KDA FC tampil memberikan penjelasan dan menyelesaikan tunggakan gaji yang didakwa tidak dibayar demi menjaga maruah dan masa depan semua pihak yang pernah berkhidmat bersama kelab itu.
“Ini punca rezeki kami. Kami bekerja dengan ikhlas, tapi sampai bila nak tunggu. Saya hanya mahu keadilan,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Sinar Harian cuba mendapatkan maklum balas daripada pengurusan KDA FC, namun belum beroleh sebarang penjelasan.