KETUMPULAN penyudah menjadi punca Terengganu FC (TFC) gagal melakar kemenangan ke atas Selangor FC dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Kuala Nerus, malam tadi.
Pemangku pengendali Terengganu, Tengku Hazman Raja Hassan berkata masalah itu masih menghantui pemain sehingga menyebabkan skuad Penyu tercicir dua mata di laman sendiri.
Bagaimanapun, pengendali kelahiran Kelantan itu berkata secara keseluruhan beliau berpuas hati dengan prestasi dan semangat juang pemain.
“Namun, apa yang saya lihat, pemain masih lagi menghadapi masalah sama, mencipta banyak peluang terutama pada babak kedua, tetapi gagal diterjemahkan kepada jaringan,” katanya selepas perlawanan berkenaan.
Pada perlawanan itu, skuad Penyu dan skuad The Red Giants berkongsi satu mata selepas terikat 1-1.
Sementara itu, pengendali Selangor, Kim Pan-gon berkata beliau bangga kerana anak buahnya tidak patah semangat dan terus berjuang meskipun terpaksa meneruskan aksi pada babak kedua dengan 10 pemain.
Pan-gon berkata beliau tetap berpuas hati dengan satu mata, meskipun sasaran asal adalah untuk membawa pulang tiga mata penuh.
“Kami berdepan perlawanan yang amat sukar. Terengganu memulakan perlawanan dengan lebih baik.
“Namun, pada separuh masa kedua, walaupun beraksi dengan 10 pemain, kami masih mampu mencipta beberapa peluang,” katanya.
Selangor kini menduduki tangga kedua Liga Super di belakang Johor Darul Ta’zim (JDT) dengan 32 mata daripada 16 perlawanan, manakala Terengganu berada di kedudukan kelima selepas mengutip 25 mata daripada 16 perlawanan. – Bernama