KUALA LUMPUR – Pusat Pungutan Zakat - Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) melancarkan penjenamaan semula identiti Wakaf PPZ kepada Wakaf Wilayah Persekutuan sebagai usaha memperkukuh peranan institusi itu dalam memperluas agenda wakaf di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, langkah tersebut sebagai strategi penting untuk mengangkat wakaf sebagai platform utama pembangunan komuniti, pengukuhan ekonomi umat Islam serta pembentukan lebih banyak inisiatif bermanfaat berasaskan dana wakaf.
Menurutnya, penjenamaan baharu itu meliputi penggunaan nama Wakaf Wilayah Persekutuan, logo serta warna identiti baharu, penukaran portal kepada www.wakafwilayah.com.my, penyelarasan nama di platform media sosial dan pelaksanaan kempen promosi khusus.
"Penjenamaan semula itu merupakan langkah strategik bagi memastikan identiti wakaf lebih mudah dikenali, mempunyai fungsi jelas dan dapat diakses oleh semua lapisan masyarakat.
"Saya berharap jenama Wakaf Wilayah Persekutuan menjadi titik tolak dalam mengangkat tradisi wakaf sebagai institusi sosial yang kukuh serta membina keyakinan masyarakat bahawa setiap sen yang diwakafkan akan diuruskan dengan amanah dan berintegriti,” katanya ketika berucap merasmikan penjenamaan semula Wakaf PPZ di Pusat Dagangan Dunia (WTC) pada Selasa.
Turut hadir Pengerusi MAIWP, Datuk Syed Kamarulzaman Syed Kabeer; Pengerusi PPZ-MAIWP, Datuk Seri Amrin Awaluddin; Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Datuk Mohd Nizam Yahya dan Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Datuk Abdul Hakim Amir Osman.
Dalam pada itu Mohd Na'im memaklumkan, penjenamaan baharu itu telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong pada 5 September lalu, sekali gus mengiktiraf usaha memodenkan pengurusan wakaf tunai di negara ini.
Pengurusan kutipan wakaf tunai di Wilayah Persekutuan sebelum ini dikendalikan Pusat Wakaf MAIWP Sdn Bhd sejak 2014, namun tanggungjawab tersebut diserahkan kepada PPZ-MAIWP pada Disember 2022 bagi memperkukuh tadbir urus dan keberkesanan kutipan.
Sejak itu, sebanyak 11 projek wakaf telah mencapai sasaran kutipan dan sebahagiannya siap dibangunkan.
Sementara itu dalam majlis sama, sebanyak 12 syarikat menyerahkan sumbangan wakaf tunai kepada Wakaf Wilayah Persekutuan berjumlah RM657,508.31.
Sejak Januari hingga November tahun ini, sebanyak RM7.9 juta wakaf tunai berjaya dikutip melibatkan 11,121 pewakaf dengan 35 projek wakaf masih memerlukan pembiayaan dengan anggaran kos RM413 juta.