Isu Felda: Pas hanya sambung kerja tertangguh - Exco

Iklan
Azman

KUALA TERENGGANU – Usaha Kerajaan Terengganu menyelesaikan isu tanah melibatkan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dan FGV Holdings Berhad yang berlarutan empat dekad lalu hanya menyambung kerja ditinggalkan UMNO dan bukannya mahu menimbulkan konfrontasi politik dengan parti itu.

Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi, Datuk Dr Azman Ibrahim berkata, fokus kerajaan negeri sejak awal hanyalah untuk menyelesaikan isu tanah kerajaan yang dimajukan sebagai ladang komersial oleh Felda dan FGV.

Iklan
Iklan

"Saya tak faham kenapa UMNO rasa 'tersakiti'. Daripada awal, kita tidak pernah sentuh UMNO.

"Malah, kita berterima kasih dengan kenyataan Datuk Seri Ahmad Said yang memberikan gambaran jelas mengenai status tanah tersebut," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Iklan

Menurut Azman, bekas menteri besar itu sebelum ini menjelaskan bahawa tanah seluas kira-kira 15,000 hektar yang diberikan kepada Felda semasa pentadbirannya tidak mempunyai hak milik kerana syarat tidak dipatuhi, menjadikan kawasan itu masih berstatus tanah kerajaan.

"Kenyataan itu sangat jelas. Kalau tiada geran hak milik, maka ia masih tanah kerajaan. Itu fakta. Peraturan tanah dahulu dan sekarang pun tidak pernah berubah," katanya.

Iklan

Beliau berkata, kerajaan negeri hari ini hanya meneruskan usaha perundingan yang telah dimulakan ketika UMNO mentadbir Terengganu suatu ketika dahulu dan tiada sebarang kenyataan yang mengajak mana-mana pihak berpolitik dalam isu tersebut.

"Berulang kali saya nyatakan, kita hanya menyambung kerja yang belum selesai. Fokus kita sejak dulu adalah menyelesaikan isu dengan Felda, bukan berkonfrontasi," katanya.

Mengulas perkembangan rundingan beliau berkata, tindakan tegas kerajaan negeri mengeluarkan notis di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara (KTN) akhirnya membuka jalan kepada perbincangan semula bersama pengurusan tertinggi Felda.

Jelasnya, banyak persetujuan asas telah dicapai dan Felda kini menunjukkan keseriusan dalam menyelesaikan isu berkenaan dengan segera, selain beberapa tuntutan kerajaan negeri turut dibincangkan secara adil.

"Dalam keadaan ini, adakah wajar untuk kerajaan negeri terus berkeras? Jawapannya tidak. Sebab itu kita setuju melanjutkan tempoh remedi dan memberi kebenaran FGV mengoperasikan semula ladang walaupun notis masih berkuat kuasa," katanya.

Beliau menegaskan, rundingan memerlukan sikap memberi dan menerima, bukan pendekatan keras yang tidak membawa penyelesaian.

Katanya, usaha kerajaan negeri untuk menamatkan isu lama itu adalah atas kepentingan rakyat dan negeri, bukannya agenda politik sempit.

"Kalau isu ini hampir selesai, kenapa UMNO perlu rasa imej mereka terjejas? Saya lihat mereka sebenarnya mengharapkan Pas terbelit dalam isu ini.

"Kalau begini cara berfikir, banyak lagi yang perlu dipelajari dalam berpolitik," ujar beliau.

Isnin lalu, bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said membuat laporan polis selepas mendakwa kenyataan beliau berhubung isu tanah ladang FGV dan Felda telah dipetik di luar konteks oleh pihak-pihak tertentu.

Laporan dibuat oleh Setiausaha UMNO Bahagian Kemaman, Rosli Ahmad di Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman di Chukai.

Rosli berkata, laporan polis tersebut bertujuan meminta pihak berkuasa menjalankan siasatan ke atas mana-mana akaun media sosial yang telah menyebarkan maklumat yang salah secara tidak bertanggungjawab.

Tambahnya, laporan itu juga sebagai langkah awal sebelum memulakan tindakan undang-undang terhadapi pihak berkaitan kelak.

Ahad lalu, sebuah portal berita tempatan melaporkan Ahmad mendakwa Kerajaan Terengganu berhak dan mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan ke atas Felda berikutan kegagalan menjelaskan bayaran premium dan cukai tanah.