Lelaki tempatan dicekup guna pasport individu lain di KLIA

Iklan
Seorang lelaki warganegara Malaysia ditahan kerana menggunakan pasport milik individu lain di KLIA Terminal 1 pada Ahad - Gambar kecil (Zakaria)

SEPANG – Helah seorang lelaki warganegara Malaysia yang cuba keluar negara dengan menggunakan pasport milik individu lain terbongkar apabila ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 pada Ahad.

Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Zakaria Shaaban berkata, suspek ditahan sekitar jam 11 pagi.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, suspek diberkas hasil operasi bersepadu membabitkan Bahagian Perisikan dan Operasi Khas Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya bersama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Putrajaya serta Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS).

“Lelaki terbabit berjaya dikesan di Kaunter Pemeriksaan Keluar KLIA Terminal 1 ketika cuba menaiki penerbangan ke luar negara dengan menggunakan pasport India.

Iklan

“Hasil pemeriksaan mendapati suspek sebenarnya merupakan warganegara tempatan dan dipercayai menggunakan pasport India yang disyaki dipalsukan pada muka surat biodata atau menggunakan pasport milik individu lain,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Menurutnya, susulan penahanan itu, pasukan operasi diatur gerak ke sebuah premis kediaman di Jalan Kuching, Kuala Lumpur dan berjaya menahan seorang wanita warga India.

Iklan

“Ketika pemeriksaan dijalankan, wanita terbabit cuba melarikan diri bersama MyKad milik suspek lelaki terbabit, namun berjaya digagalkan oleh pasukan operasi.

“Hasil semakan awal mendapati wanita berkenaan telah tinggal lebih masa di negara ini,” katanya.

Tambahnya, pasukan operasi turut menyita dua naskhah pasport India, sekeping pas masuk penerbangan, dan sebuah telefon bimbit bagi membantu siasatan.

“Suspek lelaki terbabit ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 12(1)(b) Akta Pasport 1966, manakala suspek wanita India ditahan di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

“Wanita warga India itu juga akan disiasat JPN kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Peraturan 25(1) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990,” katanya.

Zakaria berkata, kedua-dua suspek telah dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut.

“Selain itu, seorang lelaki dan seorang wanita warganegara Malaysia turut diberikan notis hadir bagi membantu siasatan.

“JIM akan terus mempergiat penguatkuasaan dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang melanggar undang-undang negara,” katanya.