Dua bas persiaran antara 21 kenderaan disita dalam Ops Sepadu JPJ

Iklan
Hamidi (kanan) melihat Operasi Sepadu di Plaza Tol Sungai Besi menghala selatan di sini pada Selasa.

KUALA LUMPUR – Dua bas persiaran merupakan antara 21 kenderaan yang disita dalam Operasi Sepadu Jabatan Pengangkutan Jalan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPJ WPKL) di Plaza Tol Sungai Besi menghala selatan di sini pada Selasa.

Pengarah JPJ Kuala Lumpur, Hamidi Adam berkata, pihaknya menyita dua bas persiaran itu kerana melanggar syarat khas Keperluan Tahap Perkhidmatan, iaitu gagal menyediakan pemandu pelancong berlesen dan berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

Iklan
Iklan

"Kita memandang serius pelanggaran syarat-syarat lesen ini kerana ia bukan sahaja merupakan satu kesalahan di bawah undang-undang, malah berpotensi menjejaskan keselamatan penumpang serta mencemarkan integriti industri pelancongan dan pengangkutan pelancongan.

"Sehubungan itu, tindakan penyitaan telah diambil serta-merta tanpa sebarang kompromi di bawah Seksyen 80(1), Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715)," katanya dalam sidang akhbar di sini pada Selasa.

Iklan

Hamidi berkata, perbuatan tersebut merupakan satu kesalahan kerana melanggar peruntukan di bawah Seksyen 41(1)(b), Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715), iaitu kegagalan mematuhi syarat-syarat yang dikenakan di bawah lesen pengendalian kenderaan perkhidmatan pelancongan.

"Di bawah Seksyen 41(3), Akta Pengangkutan Awam Darat 2010, mana-mana pengendali berlesen yang didapati bersalah boleh dikenakan denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali, dan kenderaan yang terlibat boleh dilucuthakkan di bawah Seksyen 80(4) akta sama oleh mahkamah," katanya.

Iklan

Beliau berkata, JPJ WPKL menegaskan bahawa mana-mana pengendali berlesen bas persiaran yang mengabaikan syarat-syarat lesen, termasuk kegagalan menyediakan pemandu pelancong berlesen, akan dikenakan tindakan tegas tanpa notis awal.

"Ia termasuk penyitaan kenderaan serta tindakan undang-undang susulan peruntukan undang-undang yang telah berkuat kuasa," tegasnya.

Beliau berkata, operasi yang bermula pada jam 8.30 pagi itu dilaksanakan secara bersepadu bersama Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) serta PLUS Malaysia Berhad.

"Pemeriksaan tertumpu kepada dokumen asas pemandu dan kenderaan seperti lesen memandu, cukai jalan serta perlindungan insurans, selain pematuhan spesifikasi teknikal kenderaan bagi memastikan aspek keselamatan berada pada tahap ditetapkan," katanya.

Menurutnya, sebanyak 2,091 kenderaan telah diperiksa sepanjang operasi dengan 382 kesalahan dikesan dan jumlah notis saman yang sama dikeluarkan terhadap pengguna jalan raya yang gagal mematuhi peraturan.

“Antara kesalahan tertinggi yang direkodkan ialah memandu tanpa lesen, penggunaan cermin gelap tidak mengikut spesifikasi, cukai jalan tamat tempoh dan tiada insurans.

"Tindakan sitaan melibatkan 17 motosikal, dua kereta serta dua bas persiaran," katanya.