KLANG - Helah membuat pengikraran palsu bagi menyeludup masuk cerut dan beras bernilai lebih RM4.3 juta melalui Kawasan Zon Bebas Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang di sini dibongkar baru-baru ini.
Kes itu ditumpaskan Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Selangor pada 29 Disember lalu hasil maklumat dan risikan.
Pengarah Kastam Selangor, Mohamad Azhar Ahmad Paharazi berkata, pemeriksaan ke atas sebuah kontena terbabit menemui 6,250 kilogram (kg) cerut bernilai RM4,331,250 dan 3,900 kg beras bernilai RM27,300 termasuk duti dan cukai.
Menurutnya, dagangan itu dipercayai tidak mempunyai permit import.
"Siasatan awal mendapati kontena itu tiba di Pelabuhan Klang pada 12 Oktober 2025.
"Dagangan yang dipercayai untuk pasaran tempatan bagi kegunaan warga asing itu berasal dari sebuah negara Asia," katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Kastam Pelabuhan Utara di sini pada Selasa.
Mohamad Azhar berkata, modus operandi yang dikesan ialah membuat pengikraran tidak benar di dalam Borang Kastam 1 dengan mengikrarkan sebagai 'Foot Wears' bagi mengelak keperluan import.
Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967.
Dalam kes berlainan, dua kontena membawa 37,128 liter minuman keras tanpa permit import bernilai RM1.39 juta dirampas JKDM Selangor di Kawasan Zon Bebas Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang pada 18 Disember lalu.
"Siasatan mendapati minuman keras itu dibawa masuk dari sebuah negara Asia ke Pelabuhan Klang pada 18 November 2025," ujarnya.
Tegasnya, orang ramai digesa membantu JKDM memerangi jenayah penyeludupan dengan menyalurkan maklumat di Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau pejabat kastam terdekat di semua negeri.
"Pihak JKDM juga memberi jaminan bahawa identiti setiap pemberi maklumat dirahsiakan," katanya.