PETALING JAYA – Polis sedang mengesan pemilik akaun media sosial yang dipercayai mengeluarkan ugutan bunuh terhadap seorang peguam yang mewakili keluarga tiga lelaki dalam insiden tembakan di Melaka, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, pihaknya sudah mengemukakan permohonan itu kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC).
"Permohonan telah dibuat kepada pihak MCMC dan kita masih menunggu laporan daripada pihak berkenaan.
"Setakat ini, kita hanya merakam keterangan pengadu bagi membantu siasatan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Pada Sabtu, Shamsudin dilaporkan berkata, pihaknya menerima laporan daripada peguam terbabit pada 5.16 petang, Jumaat.
Menurutnya, hasil siasatan mendapati peguam tersebut telah membaca satu komen daripada satu individu yang tidak dikenali menerusi hantaran di platform media sosial ketika berada di pejabatnya di Petaling Jaya.
Komen yang mengandungi unsur ugutan bunuh tersebut dipercayai mempunyai kaitan dengan kes yang sedang dikendalikan peguam terbabit.
Kes disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Terdahulu, Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar dilaporkan berkata, ketiga-tiga suspek dikenali Geng DT ditembak mati selepas menetak seorang koperal yang cuba menahan mereka dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi, 24 November lalu.
Siasatan mendapati suspek utama berusia 29 tahun memiliki 39 rekod lampau jenayah dan dadah selain turut dikehendaki polis, manakala seorang lagi mempunyai 12 rekod jenayah dan dadah.
Kumpulan berkenaan dipercayai aktif melakukan jenayah samun bersenjata di Melaka, Negeri Sembilan dan Selangor dengan jumlah kerugian dianggarkan RM1.35 juta.
Berikutan laporan keluarga suspek yang tidak berpuas hati dengan tindakan pihak berkuasa, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman mengambil alih siasatan kes tembakan itu pada 3 Disember.
Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, satu pasukan khas telah ditubuhkan bagi mengendalikan siasatan secara menyeluruh berhubung insiden berkenaan yang sebelum ini disiasat oleh JSJ Kontinjen Melaka di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cubaan membunuh.