KUALA LUMPUR - Kegiatan tidak bermoral yang berselindung di sebalik operasi pusat kecantikan atau spa terbongkar apabila 19 wanita warga asing ditahan dalam serbuan di empat premis sekitar ibu kota dan Puchong pada Selasa.
Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Zakaria Shaaban berkata, pihaknya menahan 12 wanita warga Filipina, enam wanita warga Vietnam dan seorang wanita warga Mongolia berusia antara 22 hingga 48 tahun dalam operasi yang bermula jam 2.44 petang.
“Semakan awal mendapati tiga wanita warga Vietnam yang ditahan memiliki Pas Lawatan Sosial (PLS), manakala seorang wanita warga Mongolia memiliki pas pelajar.
“Seramai 12 wanita warga Filipina pula memiliki pas pembantu rumah, manakala warga asing yang lain tidak memiliki sebarang pas atau dokumen perjalanan yang sah untuk berada di negara ini,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Zakaria berkata, pihaknya turut menyita sembilan pasport Filipina, tiga pasport Vietnam, satu pasport Mongolia, lima unit telefon bimbit, pengimbas bayaran QR, buku rekod pekerja, buku urus niaga, lesen perniagaan, dokumen Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) serta wang tunai berjumlah RM1,500 yang dipercayai hasil daripada kegiatan tidak bermoral itu.
“Modus operandi premis terbabit adalah menggunakan lesen sah sebagai pusat kecantikan atau spa dengan memaparkan papan tanda dan perkhidmatan rawatan kecantikan bagi mengaburi pihak berkuasa.
“Kegiatan ini tidak diiklankan secara terbuka, sebaliknya dipromosikan melalui aplikasi Telegram dan WhatsApp kepada pelanggan terpilih sahaja. Pelanggan yang hadir akan ditawarkan perkhidmatan urutan biasa, dan kod rahsia digunakan bagi mendapatkan perkhidmatan tambahan,” katanya.
Beliau berkata, ruang dalaman premis terbabit telah diubah suai dan dilengkapi dengan sistem keselamatan yang ketat.
“Kadar bayaran yang dikenakan ialah antara RM180 hingga RM250, dan premis berkenaan dipercayai telah beroperasi sejak Mac tahun lalu,” ujarnya.
Zakaria memaklumkan bahawa kesemua warga asing yang ditahan dipercayai telah melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.
“Mereka dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut. Seramai tujuh lelaki warga tempatan turut diberikan notis untuk hadir ke pejabat bagi membantu siasatan,” katanya.