Tiga beranak tinggal sehelai sepinggang

Iklan
Sadrah

KUALA KEDAH – “Saya bersyukur kerana kami tiga beranak terselamat walaupun hanya tinggal sehelai sepinggang.”

Demikian luah Sadrah Ismail, 59, selepas rumah dua tingkat bersama kedai runcit yang diusahakan sejak 25 tahun lalu musnah dalam kebakaran pada Rabu.

Iklan
Iklan

Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam di Kampung Masjid Lama, Jalan Kilang Baja itu, Sadrah bersama suaminya, Bashirul Abdul, 62, dan anak bongsu mereka, Ahmad Adib Bashirul, 27, sempat menyelamatkan diri selepas menyedari api mula marak dari tingkat atas rumah.

Menurut Sadrah, mereka menyedari kejadian tersebut sebaik selesai menunaikan solat Maghrib di bahagian bawah rumah.

Iklan

“Masa itu, saya dengar bunyi seperti letupan di tingkat atas sebelum sedar berlaku kebakaran. Tiada apa yang dapat diselamatkan, termasuk modal pusingan kedai runcit saya kira-kira RM35,000 yang disimpan dalam rak baju.

“Saya reda dengan ujian ini walaupun kedai yang diusahakan sekian lama hilang sekelip mata,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Iklan

Tindakan pantas anggota berjaya mengawal api daripada merebak ke rumah lain.

Tambahnya, rumah kakaknya yang terletak di bahagian belakang turut terjejas dalam insiden berkenaan.

“Dokumen penting sahaja yang sempat saya selamatkan. Orang awam tidak benarkan kami masuk semula kerana api sedang marak,” jelasnya.

Sementara itu, Ketua Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Ahmad Aminuddin Abd Rahim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.08 malam sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Raja bersama BBP Alor Setar digerakkan ke lokasi.

Katanya, kebakaran melibatkan dua unit rumah serta sebuah kedai runcit dan tindakan pantas anggota berjaya mengawal api daripada merebak ke rumah lain memandangkan kedudukan rumah yang rapat.

Kebakaran berjaya dikawal pada jam 9.30 malam pada Rabu dengan anggaran kemusnahan 80 peratus.

“Kebakaran berjaya dikawal pada jam 9.30 malam dengan anggaran kemusnahan 80 peratus,” katanya.

Menurut beliau, operasi turut dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Kampung Berjaya, Kuala Kedah, Jalan Kundur, Kilang Tebu dan Alor Mengkudu.

“Walaupun angin agak kencang ketika kejadian, operasi pemadaman berjalan lancar dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan. Punca kebakaran masih dalam siasatan,” jelasnya.