SUNGAI PETANI - Dua remaja lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Isnin atas tuduhan mencederakan seorang pelajar kolej vokasional, bulan lalu.
Pengakuan itu dibuat di hadapan Majistret Mohamad Azlan Basri selepas pertuduhan dibacakan terhadap kedua-dua remaja berusia 16 dan 17 tahun itu.
Bagaimanapun, hukuman ke atas dua remaja tersebut belum diputuskan kerana mahkamah menunggu laporan akhlak membabitkan kedua-dua mereka sebelum membuat keputusan.
Mengikut pertuduhan, mereka secara bersama didakwa sengaja mendatangkan kecederaan terhadap pelajar lelaki berusia 17 tahun di asrama kira-kira jam 12.04 tengah malam, 24 November lalu.
Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Hazwani Md Noor, manakala kedua-dua remaja itu diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Farah Azlinda Zahari.
Mahkamah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM1,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu sebutan semula kes yang ditetapkan pada 25 Disember ini.
Sebelum ini, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah dalam kenyataan memaklumkan lima pelajar dibuang, manakala tiga lagi digantung selepas didapati terbabit dalam pergaduhan sehingga seorang pelajar pengsan.
Mangsa dibawa menerima rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani akibat kecederaan di bahagian badan.
Terdahulu, mangsa ditemukan tidak sedarkan diri dalam tandas sekolah oleh guru sebelum dibawa ke HSAH untuk rawatan lanjut.