KUALA NERUS – Seorang kontraktor maut apabila motosikal berkuasa tinggi yang ditungganginya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Jalan Wakaf Tembesu di sini pada Rabu.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.50 pagi itu, mangsa, Muhammad Anuar Hashim, 34, yang menunggang motosikal jenis Ducati Monster 795 disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, siasatan awal mendapati nahas melibatkan motosikal mangsa dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Nissan Navara.
"Ketika kejadian, mangsa yang beralamat di Kuala Terengganu sedang dalam perjalanan dari rumahnya di Setiu menghala ke sebuah kedai plastik di Wakaf Tembesu.
"Kemalangan dipercayai berlaku apabila Nissan Navara yang dipandu seorang wanita berusia 51 tahun secara tiba-tiba keluar dari simpang di sebelah kiri laluan mangsa.
"Disebabkan jarak yang terlalu dekat, mangsa tidak sempat mengelak lalu merempuh bahagian sisi kanan kenderaan tersebut," katanya ketika dihubungi di sini pada Rabu.
Menurut Azli, impak rempuhan itu menyebabkan motosikal Ducati berkenaan remuk di bahagian hadapan, manakala Nissan Navara tersebut mengalami kemek pada pintu pemandu dan penumpang sebelah kanan.
Bagaimanapun katanya, pemandu wanita dan seorang penumpang berusia 21 tahun yang berada di dalam Nissan Navara berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan.
"Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Sultan Zainal Abidin (HoSZA) untuk tindakan lanjut, manakala punca kematian (COD) masih dalam proses kemas kini.
"Kes kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.