MELAKA - Seorang ibu tunggal dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM900 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh pada Rabu selepas mengaku bersalah mencuri produk kecantikan awal bulan ini.
Tertuduh, Joyleen Low Mei Ling, 31, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Uthman Abd Ghani.
Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa mencuri pelbagai produk kecantikan muka dan badan di sebuah premis Watsons di Batu Berendam kira-kira jam 5.30 petang pada 4 Februari lalu.
Kesemua barangan tersebut merupakan milik premis berkenaan yang digunakan sebagai tempat penyimpanan harta benda.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh juga dikenakan denda.
Bagi kesalahan kedua atau berikutnya, pesalah turut boleh dikenakan sebatan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Hanis Aliah Ahmad Kamarulnajuib memohon hukuman setimpal terhadap tertuduh.
Bagaimanapun, peguam, Goh Chin Han merayu agar anak guamnya dikenakan hukuman denda minimum atau penjara paling singkat atas alasan dia merupakan ibu tunggal kepada empat anak berusia antara lapan hingga empat tahun.
Chin Han berkata, bekas suaminya tidak membantu dari segi kewangan selepas mereka bercerai tahun lalu, manakala usaha mencari pekerjaan juga gagal.
Tindakan mencuri itu dilakukan bagi mendapatkan modal untuk memulakan perkhidmatan rawatan muka bagi menyara anak-anaknya.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara sehari dan denda RM900 atau penjara 21 hari jika gagal membayar denda tersebut.