Denda RM5,500 diketepikan, lelaki tular tendang warga emas dipenjara empat bulan

Iklan
Tangkap layar video tular seorang warga emas dipukul oleh Saiful Adli. Saiful Adli ketika dibawa ke Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Rabu.

SHAH ALAM – Seorang lelaki yang didenda RM5,500 kerana mencederakan seorang warga emas dalam video yang tular berhubung  kemalangan Jalan Cheras-Hulu Langat dua minggu lalu dihukum penjara selama empat bulan oleh Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu.

Saiful Adli Yusof, 52, dikenakan hukuman itu selepas Hakim, Datuk Aslam Zainuddin mengetepikan hukuman denda yang dibuat Mahkamah Majistret Kajang pada 10 Februari lalu.

Iklan
Iklan

Semasa prosiding semakan hukuman, Aslam menegaskan tindakan Saiful jelas tidak wajar dan membawa akibat yang serius.

Menurutnya, mahkamah menggunapakai Seksyen 323 Kanun Tatacara Jenayah (CPC) untuk memanggil semula kes ini.

Iklan

“Keputusan denda oleh Mahkamah Majistret Kajang diketepikan dan kamu dihukum penjara empat bulan bagi setiap pertuduhan.

“Kedua-dua hukuman penjara berjalan serentak bermula hari ini," katanya.

Iklan

Pada 10 Februari lalu, Majistret, Fatin Dayana Jalil menjatuhi Saiful Adli hukuman denda itu selepas Saiful mengaku bersalah atas dua pertuduhan mencederakan dan mengugut mahu membunuh Liew Khoon Foo, 70.

Mengikut pertuduhan pertama, dia yang juga peniaga didakwa sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Khoon Foo dengan menumbuk dan menendang muka serta badan mangsa di Jalan Cheras-Hulu Langat, Batu 9, Cheras, jam 4.05 petang 8 Februari lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, bapa empat anak itu didakwa telah menakutkan secara jenayah terhadap mangsa sama dengan ugutan hendak menyebabkan kematian di lokasi serta waktu sama.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Khoon Foo membaca pernyataan impak mangsa dalam bahasa Mandarin, menyatakan dia mengalami trauma, takut untuk keluar dari rumah dan tidak lagi berani memandu kenderaan.

Akibat dipukul dan ditendang, dia berkata, terpaksa menerima enam jahitan di lidah sehingga menyukarkannya untuk makan.

"Saya tiada niat atau sengaja melanggar keretanya, mungkin faktor usia menyebabkan kejadian itu berlaku.

"Saya takut dia menyimpan dendam dan mencari saya semula jadi saya rayu dia dikenakan hukuman setimpal," katanya.

Bagaimanapun, peguam, Muhammad Syakir Haznal yang mewakili Saiful berkata, anak guamnya tidak meluru secara terus ke arah mangsa, sebaliknya mengetuk pintu kenderaan dan berbincang terlebih dahulu.

Menurutnya, ketika didakwa di Kajang, anak guam mengaku bersalah pada prosiding hari pertama, seterusnya dikenakan denda yang tinggi.

Sementara itu, Saiful yang berada di kandang tertuduh, mengaku hilang pertimbangan selepas kenderaan pelbagai guna jenis Toyota Vellfire miliknya dilanggar.

“Kejadian itu menyebabkan anak saya yang baru berusia tiga hari terlepas daripada dukungan isteri.

"Saya sudah membunyikan hon tetapi dia terus memandu, termasuk melanggar lampu isyarat," katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Shahrul Ekhsan Hasim berkata, berdasarkan rakaman video tular, ia menunjukkan Saiful bertindak kejam dengan menendang, menumbuk dan mengepit mangsa pada pintu kereta.

"Negara ini ada undang-undang, tindakannya jelas sebagai pembuli jalan raya, bertindak semberono dan mengikut amarah.

“Saya mohon mahkamah menjatuhkan hukuman yang memberi keinsafan," katanya.

Dua minggu lalu, tular video berdurasi satu minit, memaparkan seorang suspek lelaki, memarahi dan menendang warga emas di bahagian pemandu kereta,

Terdapat beberapa individu cuba menenangkan suspek daripada terus mencederakan mangsa.