JAKARTA – Lapan hari selepas kejadian tanah runtuh dan banjir besar, penduduk Kampung Pantan Nangka, Kecamatan Linge, Kabupaten Aceh Tengah, mengaku masih belum menerima sebarang bantuan logistik daripada pihak kerajaan mahupun mana-mana agensi berkaitan.
Bekalan makanan yang semakin berkurangan telah menimbulkan rasa putus asa dalam kalangan penduduk, lebih-lebih lagi apabila semua akses ke kawasan itu terputus sepenuhnya.
Walaupun terasing, penduduk tetap berusaha membuka laluan dan bertahan dengan upaya mereka sendiri.
Antaranya termasuk membina laluan sementara serta terpaksa menggunakan minyak dari kenderaan persendirian untuk menghidupkan generator.
Lebih memilukan, ketika usaha dilakukan secara berdikari, penduduk Pantan Nangka mendakwa sering melihat helikopter yang dipercayai membawa bantuan terbang melintasi ruang udara mereka.
Namun mereka mengesahkan bahawa tiada helikopter yang mendarat di laluan sementara yang telah mereka bina bagi menghantar bantuan.
Aramiko, seorang penduduk tempatan, menceritakan keadaan menyayat hati yang sedang dialami masyarakat, terutama golongan rentan.
“Ramai warga emas di sini terpaksa berjalan kaki puluhan kilometer ke Aceh Tengah hanya untuk mendapatkan susu dan ramai juga wanita hamil yang nasibnya tidak menentu,” katanya baru-baru ini.
Akses utama penduduk ke pusat bandar terputus sepenuhnya akibat tanah runtuh dan banjir.
Pada masa ini, satu-satunya laluan yang boleh digunakan ialah laluan sementara untuk motosikal yang dibina sendiri oleh penduduk dan ia hanya cukup untuk dilalui kenderaan roda dua.
Situasi itu bukan sahaja mengancam keselamatan fizikal, tetapi turut mencetuskan kebimbangan emosi dalam kalangan ibu bapa terhadap anak-anak mereka yang sedang menuntut di bandar.
Ramai mahu segera menjemput anak-anak pulang, namun hasrat tersebut terhalang oleh kekurangan bahan bakar pada kenderaan yang masih ada.
Selain itu, mereka juga langsung tidak mempunyai cara untuk menghantar wang kepada anak-anak mereka, menambahkan beban fikiran di tengah-tengah kekurangan makanan.
Keterasingan berpanjangan dan kelewatan bantuan menyebabkan tahap putus asa penduduk berada pada kemuncaknya.
Aramiko menyampaikan kata-kata yang cukup memilukan, menggambarkan keadaan mereka di Linge yang sudah hilang harapan.
“Rasanya sekarang kami tidak perlukan bantuan makanan lagi. Hantarkan kami kain kafan sahaja,” katanya.
Kerajaan didesak untuk segera menggerakkan segala bentuk usaha, termasuk penggunaan dron kargo atau laluan udara alternatif, bagi memastikan bantuan logistik dapat dihantar ke Pantan Nangka sebelum keadaan bertukar menjadi krisis kemanusiaan yang lebih buruk.- Agensi