BANGKOK - Dua juruterbang Tentera Udara Diraja Thailand (RTAF) terkorban selepas sebuah pesawat serangan ringan AT-6TH terhempas ketika menjalani misi latihan di Chiang Mai, wilayah utara Thailand pada Khamis.
Pesawat dua tempat duduk itu sedang menjalani latihan rutin sebelum terhempas di kawasan hutan di Ban Huai Fang, daerah Chom Thong, kira-kira jam 10.20 pagi.
Jurucakap RTAF, Marsyal Udara Chakrit Thammavichai berkata, dari Skuadron 411, Sayap 41 itu sedang menjalankan misi latihan penerbangan Mencari dan Menyelamat Tempur di kawasan latihan yang ditetapkan apabila kemalangan berlaku.
Beliau berkata, lokasi nahas terletak di daerah Chom Thong, kira-kira 60 kilometer dari Lapangan Terbang Antarabangsa Chiang Mai.
"Akibat kejadian itu, dua juruterbang terkorban ketika menjalankan tugas. Kemalangan ini tidak menjejaskan penduduk tempatan atau menyebabkan kerosakan kepada harta awam di kawasan sekitar,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook rasmi RTAF.
Chakrit berkata, susulan insiden itu, Panglima RTAF, Ketua Marsyal Udara Seksan Kantha mengarahkan unit berkaitan untuk segera mengawal dan menjaga keselamatan di lokasi nahas.
Beliau berkata, Seksan turut mengarahkan Jawatankuasa Siasatan Kemalangan RTAF menjalankan siasatan menyeluruh dan terperinci, selaras dengan peraturan penerbangan serta piawaian keselamatan, bagi menentukan punca nahas.
Chakrit berkata, RTAF merakamkan ucapan takziah kepada juruterbang yang terkorban serta keluarga mereka, sambil menghargai dedikasi, pengorbanan dan khidmat bakti mereka kepada negara.
"RTAF akan memberikan bantuan dan sokongan sepenuhnya kepada keluarga juruterbang yang terkorban,” katanya. - Bernama