HANGZHOU - China pada Khamis melaksanakan hukuman mati terhadap 11 ahli sindiket penipuan telekomunikasi di utara Myanmar, termasuk ketua kumpulan, lapor Xinhua.
Kesemua 11 individu itu sebelum ini dijatuhi hukuman mati pada September 2025 oleh sebuah mahkamah di Wenzhou, Wilayah Zhejiang di timur China, atas pelbagai kesalahan termasuk pembunuhan dengan niat, mencederakan dengan niat, penahanan haram, penipuan serta mengendalikan kegiatan perjudian.
Iklan
Iklan
Mereka mengemukakan rayuan terhadap keputusan itu namun Mahkamah Tinggi Rakyat Wilayah Zhejiang menolak rayuan pada November 2025, mengekalkan keputusan asal dan merujuk kes berkenaan kepada Mahkamah Agung Rakyat (SPC) untuk semakan seperti yang dikehendaki undang-undang.
SPC kemudiannya meluluskan hukuman mati. Hasil semakan mendapati yang sejak 2015, kumpulan jenayah itu menubuhkan beberapa pangkalan operasi di Myanmar bagi menjalankan penipuan telekomunikasi, mengendalikan sarang perjudian haram serta melakukan jenayah lain.
Menurut SPC, dana yang terlibat dalam kegiatan penipuan dan perjudian itu melebihi 10 bilion yuan (kira-kira US$1.4 bilion).
Selain itu, sindiket berkenaan turut melakukan pembunuhan, serangan fizikal dan penahanan haram terhadap individu yang terbabit dalam kegiatan penipuan, mengakibatkan kematian 14 warga China serta kecederaan terhadap yang lain.
Pelaksanaan hukuman mati dilakukan oleh mahkamah Wenzhou selepas mendapat kelulusan SPC. - Bernama