Jenazah dua mangsa nahas SUV jatuh gaung dituntut ahli keluarga

Iklan
Anak Allahyarham Hassan (gambar kecil) tidak dapat menahan sebak sebaik jenazah dikeluarkan dari Unit Forensik Hospital Hulu Terengganu untuk dibawa pulang dan dikebumikan di Kelantan.

HULU TERENGGANU - Suasana pilu menyelubungi Unit Forensik Hospital Hulu Terengganu apabila ahli keluarga mangsa nahas kenderaan utiliti sukan (SUV) yang terjunam ke dalam gaung di Kilometer 52 Jalan Kuala Jeneris - Sungai Gawi - Aring (Bukit Kawah) hadir bagi menuntut jenazah, pada Sabtu.

Difahamkan, proses bedah siasat selesai kira-kira jam 2 petang sebelum jenazah dibawa menaiki dua kenderaan berasingan untuk dikebumikan di kawasan masing-masing di Kelantan.

Iklan
Iklan

Ibu mangsa, Fauziah Mahmood, 58, berkata, dia bersyukur kerana urusan membawa pulang jenazah anaknya berjalan lancar.

Menurutnya, pihak polis turut memaklumkan terdapat baju pengantin dalam kenderaan yang dinaiki anaknya, Allahyarhamah Suzaimah Che Azis, 34, bersama Allahyarham Hassan Shazali, 52.

Iklan

"Biasanya Ja (Suzaimah) akan beritahu dulu jika hendak ke mana-mana, tetapi pada hari kejadian arwah hanya menelefon untuk berbincang mengenai barang-barang kantin.

"Bila kami diberitahu ada barang perkahwinan dalam kereta, mungkin mereka ke sini untuk persediaan kahwin," katanya ketika ditemui di hospital berkenaan pada Sabtu.

Iklan

Jenazah Allahyarhamah Suzaimah dituntut ahli keluarga untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Lebir, Gua Musang pada Sabtu.

Fauziah berkata, arwah Suzaimah mempunyai tiga anak berusia tujuh hingga 15 tahun daripada perkahwinan terdahulu dan merancang majlis perkahwinan kecil-kecilan pada 25 Disember ini.

"Sepatutnya pada 20 Disember ini keluarga lelaki datang jumpa saya berbincang lanjut, tapi tak sangka pula kemalangan menimpa mereka dan mereka berdua pergi terlebih dahulu," katanya.

Fauziah berkata, jenazah Suzaimah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Lebir, Gua Musang pada Sabtu.

Che Norhashimah (dua dari kiri) menenangkan salah seorang anaknya yang menangis ketika menunggu urusan bedah siasat di Unit Forensik Hospital Hulu Terengganu.

Sementara itu, isteri Allahyarham Hassan, Che Norhashimah Hassan, 50, berkata, jenazah suaminya yang juga Guru Penolong Kanan di Sekolah Kebangsaan (SK) Lebir akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Kedai Menanti, Pasir Puteh, Kelantan pada hari yang sama.

"Saya bersyukur urusan membawa pulang jenazah arwah suami berjalan lancar.

"Arwah seorang guru dan ayah yang baik. Saya reda dengan pemergiannya dan berdoa semoga rohnya ditempatkan dalam kalangan orang beriman," katanya.

Keadaan kenderaan SUV yang dinaiki sepasang bakal pengantin terbabas ke dalam gaung sedalam 60 meter di Kilometer 52, Jalan Kuala Jeneris-Sungai Gawi-Aring (Bukit Kawah) dekat Tasik Kenyir petang semalam - Foto: Bernama

Sinar Harian pada Jumaat melaporkan SUV jenis Toyota Fortuner dinaiki guru berkenaan dan pengusaha kantin terbabas ke dalam gaung kira-kira jam 5.30 petang. Kedua-duanya meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah.