Seremban Sentral dijangka jana perolehan perniagaan RM300 juta setahun

Iklan
Anthony (tiga dari kiri) melakukan gimik pecah tanah pembangunan berorientasi transit Seremban Sentral.

SEREMBAN - Pembangunan berorentasikan transit (TOD) Seremban Sentral dijangka menjana perolehan perniagaan bernilai RM300 juta setahun.

Ia juga dijangka mencipta kira-kira 2,500 peluang pekerjaan baharu pelbagai bidang, sekali gus memacu pertumbuhan ekonomi Negeri Sembilan menjadi hab bandar moden dan berdaya saing.

Iklan
Iklan

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, projek tersebut melibatkan pembangunan di atas tanah seluas 8.42 hektar dengan nilai pembangunan kasar RM2 bilion.

“Melalui pembangunan, dianggarkan dapat menjana perolehan perniagaan setahun sehingga RM300 juta termasuk sekurang-kurangnya RM15 juta pendapatan bulanan kepada tenaga kerja tempatan melalui penjanaan aktiviti ekonomi langsung dan rantaian sokongan.

Iklan

"Pembangunan Seremban Sentral, menyasarkan sekurang-kurangnya 6,000 pengguna harian, akan menghubungkan perjalanan antara kerja, kediaman, pusat kesihatan dan gaya hidup dalam lonjakan besar ke arah mobiliti bandar moden,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pecah tanah pembangunan berorientasi transit Seremban Sentral, anjuran Perbadanan Aset Keretapi (RAC) dan Sunway Group, selaku pemaju projek.

Iklan

Hadir sama Pengasas dan Pengerusi Sunway Group, Tan Sri Dr Jeffrey Cheah; Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah RAC, Datuk Seri Jana Santhiran Muniayan dan Ketua Pegawai Eksekutif RAC, Datuk Azhar Ahmad.

Beliau berkata, fasa pertama projek pembangunan bersepadu tersebut akan dimulakan pada tahun hadapan dan dirancang untuk disiapkan dalam tempoh lima tahun.

Menurutnya, salah satu komponen terbesar dalam fasa terbabit ialah pembinaan sebuah hospital moden dengan keluasan 480,000 kaki persegi yang bakal menjadi hospital pertama di Negeri Sembilan yang dibina secara langsung bersebelahan Stesen Keretapi Seremban.

"Integrasi ini bukan sahaja meningkatkan kemudahan akses kepada perkhidmatan kesihatan, malah menandakan lonjakan baharu dalam penyepaduan antara mobiliti awam dan penjagaan kesihatan," katanya.

Tambahnya, sebuah pusat beli-belah yang direka sebagai pusat komersial moden menara pejabat berkeluasan 300,000 kaki persegi juga akan dibina dan akan menjadi antara bangunan tertinggi di negeri ini.

Anthony yang juga Ahli Parlimen Seremban berkata, fasa kedua melibatkan pembangunan tambahan kediaman, komersial dan kemudahan komuniti berkeluasan 3.2 juta kaki persegi yang akan dibangunkan secara berperingkat dari 2029 hingga 2039.

"Sebaik sahaja projek ini siap sepenuhnya, ia akan mencerminkan pembangunan berskala besar yang moden, komprehensif dan memberi tumpuan kepada kesejahteraan serta kemudahan hidup rakyat Seremban.

"Pembangunan yang akan dilaksanakan ini turut memberi penekanan kepada pemuliharaan kawasan stesen kereta api asal yang mempunyai nilai sejarah yang penting dalam perkembangan bandar raya Seremban," katanya.

Selain itu katanya, usaha dilakukan turut memberi penekanan kepada pembangunan pelancongan perubatan di Negeri Sembilan, khususnya dengan kemasukan Pusat Perubatan Sunway yang akan menjadi pemangkin kepada sektor berkenaan.

"Kita menjangkakan kehadiran pesakit dari luar negeri dan luar negara bukan sahaja untuk mendapatkan rawatan, malah juga secara tidak langsung akan merancakkan lagi aktiviti pelancongan di negeri ini," katanya.

Sementara itu, Jeffrey berkata, Negeri Sembilan mencatatkan pertumbuhan ekonomi memberangsangkan dalam beberapa tahun kebelakangan ini, dengan Seremban semakin muncul sebagai hab logistik dan perindustrian utama, dihubungkan kepada koridor pertumbuhan selatan Lembah Klang.

Beliau berkata, momentum itu dijangka diperkukuh dengan pelaksanaan projek Seremban Sentral, memperluas dan meningkatkan rangkaian sambungan rel sekali gus menjadikan bandar itu sebuah pusat serantau yang lebih berdaya saing dan mudah diakses pada masa depan.

“Ini selaras dengan Lembah Wawasan Malaysia 2.0 yang diterajui kerajaan negeri dengan perancangan untuk mengubah negeri ini menjadi ekonomi bernilai tinggi dan sedia masa depan menjelang 2045,” katanya.

Beliau berkata, Sunway berhasrat menjadi rakan yang kukuh, menyokong dan berjangka masa panjang dalam agenda berwawasan itu untuk memacu pembangunan ekonomi yang mampan, inklusif dan saksama.