Jawatan Ketua Menteri dua penggal dikhuatiri sebabkan dasar negeri tergantung

Iklan
Ab Rauf - Foto Bernama

MELAKA - Kajian terperinci perlu dilakukan berkaitan cadangan mengehadkan tempoh jawatan Ketua Menteri Melaka kepada dua penggal kerana ia melibatkan kesinambungan dasar dan hala tuju pentadbiran negeri.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, dalam usaha membina sebuah negara bangsa yang kukuh, sebarang penetapan tempoh jawatan perlu dibuat dengan penuh penelitian dan bukan secara tergesa-gesa.

Iklan
Iklan

“Ini kerana perubahan sesuatu dasar politik mengambil masa lima tahun. Selepas itu, ia memerlukan tempoh tambahan lima tahun lagi bagi membolehkan dasar berkenaan diterima dan diadaptasi sepenuhnya oleh rakyat.

“Jadi, saya rasa ia memerlukan satu kajian yang terperinci dan lebih menyeluruh supaya segala keputusan serta asas-asas dasar yang dibuat tidak tergantung kepada pemimpin yang akan mewarisinya,” katanya pada Isnin.

Iklan

Ab Rauf (lima dari kiri) menyampaikan sumbangan BAP kepada penerima.

Beliau berkata demikian ketika mengulas cadangan mengehadkan tempoh jawatan Ketua Menteri Melaka kepada dua penggal, seiring pelaksanaan had jawatan Perdana Menteri.

Iklan

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa kerajaan akan membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun atau dua penggal.

Langkah berkenaan bertujuan memastikan kepimpinan negara tidak tertumpu kepada satu individu terlalu lama serta memberi peluang kepada pemimpin baharu.

Mengulas mengenai cadangan pelaksanaan had dua penggal bagi jawatan Perdana Menteri, Ab Rauf menjelaskan bahawa perkara tersebut merupakan keputusan di peringkat Persekutuan dan perlu mendapat sokongan majoriti dua pertiga Ahli Parlimen.

“Mana-mana menteri boleh membawa usul berkaitan perkara ini. Ia bukan soal Melaka menyokong atau tidak, sebaliknya Melaka akan meneliti perkembangan ini secara dekat dan menjalankan kajian sama ada ia memberi pulangan politik yang baik atau sebaliknya.

“Apa pun keputusan yang dibuat di peringkat Persekutuan, kerajaan negeri perlu mengikut keputusan tersebut,” katanya.

Ab Rauf sebelum itu mengadakan Lawatan Rasmi Ketua Menteri Melaka sempena Hari Pertama Sesi Persekolahan 2026 serta penyampaian sumbangan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) di SMK Kampung Gelam.

Lebih 161,000 murid di seluruh sekolah di Melaka memulakan sesi persekolahan tahun 2026 bermula hari ini, melibatkan 239 sekolah rendah dan 80 sekolah menengah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

KPM akan menyalurkan BAP sebanyak RM150 kepada lebih 155,000 murid di seluruh Negeri Melaka, melibatkan murid dari Tahun 1 hingga Tingkatan 6, dengan jumlah peruntukan sebanyak RM23.31 juta.