MELAKA – Udang kopek yang sering dianggap sebagai ‘umpan kelas dua’ ternyata membawa tuah buat seorang pemancing apabila berjaya merangkul hadiah wang tunai RM15,000 pada Kembara Pancing Melaka 2026 siri pertama di Tambak Klebang, di sini pada Sabtu.
Azini Taslin, 55, peniaga dari Muar, Johor membuktikan tanggapan itu meleset apabila menjuarai pertandingan anjuran Joran Unggul Event Management selepas berjaya menaikkan ikan mayong seberat 3.985 kilogram (kg) pada jam 10.58 pagi, sekali gus menewaskan hampir 600 peserta lain.
Tempat kedua dimenangi Mohd Zamri Yahya, 45, dari Klang, Selangor yang menaikkan ikan pari seberat 2.535kg, manakala tempat ketiga disandang Hisyamudin Hassan, 47, juga dari Muar dengan tangkapan ikan belukang seberat 1.475kg.
Kemenangan tersebut menyaksikan Azini membawa pulang hadiah utama RM15,000, manakala Mohd Zamri menerima RM3,000 dan Hisyamudin RM1,000.
Hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Pengurus Joran Unggul, Amir Ali Mohamad.
Menurut Azini, dia hadir ke Melaka bersama dua rakan dan menginap di bandar pelancongan itu sebelum pertandingan sambil mencari umpan yang sesuai.
“Pada awalnya saya mencari udang hidup, namun tidak berjaya. Jadi saya ambil keputusan menggunakan udang mati yang dikopek kulit sebagai umpan.
“Alhamdulillah, tidak sangka pula udang kopek ini menjadi dan berjaya menarik ikan mayong. Pada mulanya saya fikir peluang tipis kerana ada peserta lain yang menaikkan ikan pari,” katanya.
Dia bersyukur dengan kemenangan itu kerana ia sedikit sebanyak membantu perbelanjaan persekolahan anak-anak yang akan bermula hari ini.
“Rezeki tidak salah alamat. Kemenangan ini memang amat bermakna,” katanya.
Sementara itu, Amir berkata, penganjuran pertandingan berkenaan adalah bersempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) dan secara tidak langsung membantu merancakkan sektor pelancongan domestik.
“Walaupun VM2026 merupakan acara kerajaan, penganjuran seperti ini dapat menyumbang kepada pergerakan pelancong domestik, khususnya dengan kehadiran peserta dari negeri-negeri jiran,” katanya.
Menurutnya, peserta dari Johor, Negeri Sembilan, Selangor, Kuala Lumpur, Pahang dan Perak turut mengambil bahagian dalam pertandingan berkenaan.
“Siri kedua Kembara Pancing Melaka dijadualkan berlangsung pada Jun ini,” katanya.