JOHOR BAHRU - Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor menahan 43 warga asing atas pelbagai kesalahan, hasil serbuan di kawasan Taman Pelangi dan Taman Molek di sini pada Khamis.
Menurut pengarahnya, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus, Ops Selera itu yang bermula pada jam 12 tengah hari melibatkan sepasukan pegawai Bahagian Penguatkuasa JIM Johor.
"Operasi penguatkuasaan kali ini memberikan tumpuan kepada pemeriksaan pekerja asing, rekod majikan, dokumen perjalanan dan status permit kerja.
“Ia termasuk menggempur premis perniagaan yang menggaji dan melindungi warga asing tanpa dokumen sah,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
"Mana-mana pihak yang melanggar undang-undang Imigresen dikenakan tindakan tegas tanpa kompromi termasuk tangkapan serta pertuduhan di bawah Akta Imigresen 1959/63," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Mohd Rusdi, hasil pemeriksaan terhadap 84 individu, seramai 43 warga asing melibatkan 13 lelaki warganegara Myanmar, Indonesia (lima) dan Pakistan (dua), India (tiga), Nepal (lima) termasuk tiga wanita dewasa warga Myanmar dan 12 (Indonesia) berusia dalam lingkungan 19 hingga 49 tahun ditahan dalam serbuan tersebut
Katanya, seramai empat warga tempatan turut ditahan bagi membantu siasatan di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana menggajikan pekerja asing tanpa kebenaran yang sah.
“Kesemua yang ditahan disyaki melakukan kesalahan dibawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika di sini untuk siasatan serta tindakan lanjut.
"Selain itu, sebanyak lima borang 29 iaitu saman kepada saksi telah dikeluarkan sepanjang pemeriksaan untuk membantu siasatan.
"JIM Johor akan meneruskan tindakan penguatkuasaan secara berterusan dalam usaha membersihkan kawasan perniagaan agar bebas daripada kegiatan pendatang asing tanpa izin (PATI) demi memelihara keselamatan masyarakat dan mempertahankan undang-undang," ujarnya.