MUAR - Satu lagi kebakaran dikesan berlaku di kawasan hutan Paya Gelam, Mukim Jorak, Pagoh seluas kira-kira 54 hektar pada Sabtu.
Kebakaran itu berlaku ketika operasi memadam kebakaran ladang tanah gambut milik Pertubuhan Peladang Negeri Johor (PPNJ) di Batu 13/14, Air Itam masih dilakukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Ketua Zon 4 JBPM Johor, Norshuhada Amsari berkata, kebakaran itu dikesan hasil rondaan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Pagoh yang ternampak asap di udara.
“Lokasi baru ini hanya satu kilometer dari sektor D yang sedang terbakar, tetapi akses sukar kerana adanya anak sungai.
"Oleh itu, kami terpaksa keluar semula dari lokasi ini (sektor D) untuk ke sana (Paya Gelam). Lokasi kebakaran terbaru mengambil masa 45 minit perjalanan dari Balai Bomba Pagoh.
"Seperti mana arahan dikeluarkan sebelum ini, semua balai dalam kawasan saya diminta membuat pemantauan mana-mana lokasi yang ternampak asap. Jadi semalam, ada anggota balai membuat pemantauan sebelum mengesan kebakaran itu," katanya ketika dihubungi.
Sementara itu, Norshuhada berkata, operasi pemadaman menunjukkan perkembangan positif dengan 38 daripada 110 hektar kawasan ladang berjaya dipadamkan sepenuhnya.
"Operasi kini memasuki hari kesembilan, membabitkan empat sektor: A (10 hektar), B (4 hektar), C (8 hektar) dan D (88 hektar).
"Bagi sektor D, yang terpaksa ditutup susulan dua letupan, helikopter Agusta AW139 (9M-BOD) digunakan untuk pengeboman air, dengan jumlah air dijatuhkan semalam mencecah 32,000 liter.
"Keadaan dilaporkan semakin terkawal apabila hujan turun awal pagi tadi membantu pemadaman," katanya.
Sementara itu, Norshuhadah memberitahu operasi pemadaman kebakaran hutan Paya Gelam sudah bermula Ahad, membabitkan sebahagian daripada anggota bertugas di ladang milik PPNJ.