PONTIAN - Cuaca panas dan kemarau berpanjangan sejak lebih sebulan lalu menjejaskan bekalan air kepada 13,900 akaun pengguna di daerah ini, dengan situasi itu disifatkan sebagai terburuk dalam tempoh tujuh tahun.
Pegawai Daerah Pontian, Kamalludin Jamal berkata, paras air Empangan Machap yang menyalurkan bekalan air bersih ke daerah ini turut dilaporkan menyusut.
Jelasnya, situasi itu menjejaskan bekalan air di beberapa kawasan di Mukim Benut, Sungai Pinggan, Ayer baloi dan Api-api, sekaligus memaksa catuan bekalan air berjadual dilakukan.
"Kira-kira 13,900 akaun pengguna berdepan gangguan air sejak Jumaat lalu. Catuan air telah dibuat dan jadual dikeluarkan oleh Ranhill SAJ.
"Sudah tentu penduduk risau kerana air cukup penting. Difahamkan banyak aduan dikemukakan penduduk berkenaan gangguan bekalan air ketika ini," katanya.
Beliau berkata demikian selepas mendengar taklimat berkaitan isu bekalan air di Depoh Bekalan Air Pontian Besar di sini, pada petang Isnin.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN ) Pulai Sebatang, Hasrunizah Hassan.
Menurut Kamalludin, bagi memastikan penduduk mendapatkan bekalan air, Ranhill SAJ telah menggerakkan lori tangki, tangki statik dan tangki besar ke lokasi terjejas termasuk Parit Makassar, Parit Menangis, Pekan Benut dan Ayer Baloi Baloi.
"Seramai 60 anggota Ranhill SAJ, digerakkan bagi memastikan pengagihan bekalan air kepada penduduk berjalan lancar dan teratur.
"Kerajaan negeri turut mengarahkan semua masjid kerajaan melaksanakan solat sunat Istisqa’ sebagai ikhtiar memohon hujan.
"Semoga paras air dapat kembali pulih dan krisis bekalan air di daerah Pontian dapat diselesaikan segera," ujarnya.