KAJANG - Operasi mencari seorang remaja yang dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus ketika cuba mengambil bola di dalam longkang di Lorong 1/3A Taman Prima Saujana di sini memfokuskan dua zon pencarian dengan jarak kira-kira 10 kilometer pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, operasi telah memasuki hari ketiga pencarian.
"Operasi masih berusaha mencari seorang lagi mangsa yang belum dijumpai.
"Operasi pada hari ini (Sabtu) dipecahkan dua zon pencarian dengan jarak lebih kurang 10 kilometer bermula dari lokasi kejadian seterusnya ke Jalan Mendaling menuju Jalan Reko," katanya pada Sabtu.
Tambah beliau, seramai 65 pegawai dan anggota agensi terlibat dalam operasi antaranya Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Katanya, dua ekor anjing dari Unit Anjing Pengesan (K9) dari JBPM serta APM turut digunakan dalam usaha pencarian ini.
"Turut bersama ialah Unit Dron APM, Unit Skuba JBPM serta aset bot Whally bagi menyusuri Sungat Langat ke arah Dengkil," katanya.
Dalam insiden pada Khamis, polis Kajang menerima panggilan pada jam 6.29 petang memaklumkan seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun iaitu Kayyum Shaqeel Khairul Ikram dan abangnya Khalish Shahdan Khairul Ikram berusia 14 tahun dihanyutkan air ketika ingin mengambil bola di belakang Masjid Prima Saujana Kajang.
Pada jam 7.47 petang, mangsa pertama iaitu Kayyum Shaqeel telah dijumpai di Sungai Merbau berhampiran Jalan Desa Impian 2, Kajang dalam anggaran jarak 2 kilometer dari lokasi kejadian oleh orang awam.
Mangsa diberi bantuan kecemasan dan telah dibawa ke Hospital Kajang untuk menerima rawatan namun disahkan meninggal dunia pada jam 10 malam.