PELABUHAN KLANG – “Saya tak tahu semua. Isteri yang uruskan, saya cuma kena bayar RM1,500 untuk satu trip.”
Itu pendedahan seorang lelaki warga Bangladesh yang ditahan selepas bot pom-pom dinaikinya bersama 80 individu lain dipintas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor di perairan Bagan Nakhoda Omar, Sabak Bernam pada Jumaat.
Lelaki berusia 31 tahun itu mendakwa telah berada dan bekerja di Malaysia sejak lapan tahun lalu sebelum pergi ke Indonesia bagi tujuan perkahwinan.
Menurutnya, dia bekerja di sebuah kilang makanan di Johor Bahru dan memiliki pasport serta permit kerja yang masih sah ketika berada di negara ini.
"Saya keluar dari Malaysia ikut laluan sah menggunakan pasport dari Johor ke Medan untuk berkahwin dengan isteri saya,” katanya pada Sabtu.
Lelaki itu berkata, perkahwinannya dengan wanita warga Indonesia beragama Islam berlangsung secara sah pada 26 Disember lalu dan dia berada di negara itu selama kira-kira sebulan.
Bagaimanapun, katanya, dia terpaksa masuk semula ke Malaysia menggunakan bot pom-pom untuk kembali bekerja.
"Isteri saya yang uruskan semua. Saya cuma ikut sahaja. Dia beri nombor telefon dan beritahu akan ada orang ambil kami pada waktu malam,” katanya.
Menurut lelaki itu, isterinya pernah bekerja sebagai pembantu rumah di Johor sebelum pulang ke kampung pada 2024.
Katanya lagi, mereka dibawa dari rumah isterinya menaiki kenderaan sebelum menaiki bot pada waktu malam di kawasan yang dipercayai sekitar Tanjung Balai, Indonesia.
"Saya tak pasti sama ada jeti nelayan atau jeti awam kerana semua berlaku pada waktu malam dan bayaran semuanya diuruskan oleh isteri.
"Saya bayar sekitar lima juta rupiah seorang bagi setiap satu perjalanan,” katanya.
Timbalan Pengarah Operasi Maritim Malaysia Selangor, Komander Maritim Mohd Fairusnizam Abdul Razak berkata, bot pom-pom tanpa nombor pendaftaran itu ditahan sekitar jam 3.30 pagi hasil maklumat risikan yang diterima pihaknya.
Menurutnya, bot berwarna biru berjalur merah dan hitam itu dipintas kira-kira tiga batu nautika barat daya Sungai Air Tawar selepas dikesan bergerak dari Jeti Nelayan Batu Bara, Indonesia.
"Semasa pemeriksaan hendak dijalankan, seorang individu dipercayai tekong bot bertindak terjun ke laut dan berjaya meloloskan diri,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Maritim Malaysia Selangor, di sini pada Sabtu.
Beliau berkata, pemeriksaan lanjut mendapati seramai 80 individu berada di atas bot berkenaan.
"Kesemua individu itu terdiri daripada dua awak-awak lelaki warga Indonesia, seorang lelaki warga Bangladesh serta 77 warga Indonesia termasuk 29 wanita dan seorang kanak-kanak perempuan berusia 14 tahun.
"Siasatan awal mendapati kesemua individu terbabit tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau permit kerja yang sah,” katanya.
Menurutnya, semakan awal juga mendapati sebahagian daripada mereka dipercayai pernah masuk ke Malaysia sebelum ini.
"Setiap individu dikenakan bayaran antara RM1,500 hingga RM2,500 seorang, bergantung kepada lokasi penghantaran yang dijanjikan sindiket.
"Modus operandi kali ini berbeza apabila sindiket menggunakan bot pom-pom secara terus dari Indonesia ke perairan Selangor tanpa transit menggunakan bot nelayan tempatan seperti dikesan dalam kes sebelum ini,” katanya.
Jelasnya, bot berkenaan sebenarnya bukan bot penumpang dan lazimnya digunakan untuk mengangkut barangan.
"Keadaan bot yang sarat serta ketiadaan jaket keselamatan jelas membahayakan nyawa penumpang.
"Bot ini dipercayai bergerak dari Indonesia sekitar jam 7 hingga 8 malam dengan tempoh perjalanan antara lapan hingga 10 jam tanpa henti,” katanya.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 serta Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).
"Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti rangkaian sindiket termasuk kemungkinan penglibatan tekong darat.
"Maritim Malaysia Selangor akan terus mempertingkatkan rondaan dan penguatkuasaan di perairan negeri ini bagi membanteras jenayah rentas sempadan,” katanya.