Lelaki dicekup ugut wanita dengan video peribadi

Iklan
Suspek ditahan susulan laporan kes ugut di Kampung Merotai Besar, Tawau.

TAWAU - Tindakan seorang lelaki warga asing melakukan ugutan dengan menyebarkan video dan gambar peribadi seorang wanita membawa padah apabila ditahan polis di kawasan tepi gerai Kampung Merotai Besar di sini pada Jumaat.

Suspek berusia 30-an itu ditahan kira-kira jam 5.45 petang susulan laporan polis dibuat oleh mangsa berusia 20-an yang mendakwa menerima ugutan daripada bekas kenalannya melalui beberapa nombor telefon.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, mangsa mendakwa suspek mengugutnya dengan menularkan video dan gambar peribadinya jika gagal menyerahkan sejumlah wang kira-kira jam 10.35 pagi.

"Suspek juga dipercayai kerap menghubungi mangsa pada waktu malam dengan tujuan mengganggu dan merosakkan keharmonian rumah tangga mangsa.

Iklan

"Disebabkan takut bahan peribadi itu disebarkan, mangsa mendakwa terpaksa memberikan sejumlah wang," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Katanya, tangkapan yang dibuat oleh sepasukan anggota dari Balai Polis Bombalai turut menemui pisau sepanjang kira-kira 16 sentimeter bersama suspek.

Iklan

"Selain itu, turut dirampas dua telefon bimbit di dalam sebuah beg sandang dipercayai digunakan semasa kejadian berkenaan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63," katanya.

Dalam pada itu, Jasmin menegaskan pihaknya memandang serius sebarang bentuk ugutan dan pemerasan, khususnya melibatkan ancaman penyebaran bahan peribadi.

Polis tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang," katanya.