KUANTAN – Usaha memulihara ekosistem perairan darat di Pahang diberi tumpuan apabila sebahagian peruntukan sektor perikanan 2026 disalurkan untuk mengekang ancaman ikan asing mengganggu keseimbangan biodiversiti.
Menteri Besar Pahang, Datuk Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, langkah itu melibatkan RM250,000 bagi Kempen Penghapusan Ikan Asing, termasuk mengekang ikan baung ekor merah dan bukan untuk dikomersialkan.
"Saya minta Yang Amat Berhormat ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) Cheka, kerana kerajaan negeri memikirkan cadangan untuk komersial ikan baung merah adalah tidak boleh menyelesaikan masalah.
"Jadi pentingnya ialah kita kena hapuskan ikan asing ini dan disebabkan itu kita peruntukkan RM250,000," katanya ketika pembentangan Belanjawan Negeri 2026 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Sri Pahang di sini pada Jumaat.
Belanjawan tersebut bertema ‘Pahang 1st: Rakyat Didahulukan, Kemakmuran Dipertahankan’ dengan menggariskan tujuh teras utama.
Menurut Wan Rosdy, inisiatif tersebut adalah sebahagian daripada peruntukan keseluruhan RM1.3 juta bagi sektor perikanan
Kata beliau, daripada jumlah itu, sebanyak RM600,000 diperuntukan bagi Program Pembangunan Kualiti Perikanan Darat, Konservasi Baka Ikan Asli dan Pengembangan Akuakultur serta RM250,000 bagi Program Pelepasan Benih Ikan Asli ke perairan umum seluruh negeri.
"Bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap konservasi dan industri perikanan air tawar kerana memperuntukkan RM200,000 untuk penganjuran Karnival Nelayan Darat 2026,"
Dato' Sri Diraja memaklumkan agenda keterjaminan makanan negeri turut memberi tumpuan kepada sektor penternakan dan pertanian, dengan peruntukan keseluruhan RM68.63 juta bagi tahun 2026.
Jelas beliau, bagi sektor penternakan, sebanyak RM24.7 juta diperuntukkan termasuk RM23.55 juta kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Pahang bagi pengurusan dan pembangunan.
"Projek Peningkatan Genetik Ternakan termasuk peluasan Projek Wagyu Pahang pula melibatkan dana RM650,000.
"Sebanyak RM500,000 diberikan melalui Skim Makmur Ternak sekaligus membantu penternak kecil dan sederhana meningkatkan kapasiti pengeluaran," jelas.
Menyentuh sektor pertanian, Wan Rosdy menjelaskan sebanyak RM42.63 juta merangkumi RM40.63 juta disalurkan kepada Jabatan Pertanian Negeri Pahang bagi pengurusan dan pembangunan.
"RM2 juta untuk penganjuran Program MAHA Pahang sebagai platform pemerkasaan agroekonomi dan agropelancongan," katanya.