KUANTAN – Umat Islam di Pahang diseru berpegang teguh kepada ajaran sahih dan menolak fahaman songsang serta menyesatkan daripada gerakan ekstrem yang boleh menggugat akidah.
Menteri Besarnya, Dato' Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail berkata, gerakan seumpama itu juga boleh memecahbelahkan ummah dan merosakkan keharmonian masyarakat.
"Pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah mesti terus dipertahan sebagai benteng akidah, asas perpaduan dan teras kekuatan negeri ini," katanya.
Dato' Sri Diraja berkata sedemikian ketika pembentangan Belanjawan Negeri 2026 bertema ‘Pahang 1st: Rakyat Didahulukan, Kemakmuran Dipertahankan’ dengan menggariskan tujuh teras utama pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Sri Pahang di sini pada Jumaat.
Pada 9 November lalu, Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) dilaporkan menahan lapan pengikut kumpulan 'Jemaah Nur Ahmad Istana Pelangi', termasuk ketuanya bergelar 'Ayahanda' kerana dipercayai terbabit ajaran sesat.
Kumpulan itu termasuk seorang wanita berusia 45 hingga 66 tahun ditahan hasil serbuan ke atas bekas gudang perabot yang dijadikan tempat tinggal mereka di Kampung Sungai Putat, Pulau Tawar, Jerantut, pada jam 2.30 petang.
Menurut Pengarah JAIP, Datuk Ahmad Khirrizal Ab Rahman, susulan penahanan itu, pihaknya menemui dan merampas pelbagai dokumen bertentangan dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Bagi menyuburkan kefahaman fiqh, jati diri kenegaraan dan semangat Hubbul Watan, Dato' Sri Diraja berkata, kerajaan negeri memperuntukkan RM1.5 juta bagi menjayakan Program Pemerkasaan Fiqh Al-Watan.
Menurut Dato' Sri Diraja Wan Rosdy, program itu menjadi wadah pendidikan rakyat agar selari dengan kedudukan Pahang sebagai sebuah Daulah Islam berdaulat.
"Negeri Pahang yang berpegang kepada fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah berdasarkan aliran Al-Asy’ariyyah dan Al-Maturidiyyah," tegasnya.
Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelai itu memaklumkan Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) akan dijenamakan semula sebagai Universiti Al-Quran di negeri ini.
Kata beliau, langkah itu bertujuan melahirkan generasi terdidik yang bukan sahaja berilmu, tetapi berakar kepada wahyu sebagai panduan utama kehidupan, penelitian dan kepimpinan.
"Kita peruntukan RM20 juta sebagai geran mengurus dan pembangunan bagi memastikan agenda transformasi Universiti Al-Quran ini dapat direalisasikan dengan lebih tersusun dan berkesan.
“Peruntukan tahunan ini melibatkan kenaikan sebanyak 66.7 peratus berbanding peruntukan pada tahun 2025 iaitu sebanyak RM12 juta," ujar beliau lagi.