Kios niaga, lampu solar lonjak ekonomi Pulau Tuba

Iklan
Pulau Tuba diangkat sebagai Kampung Angkat Madani (KAM) di bawah inisiatif Kementerian Kewangan.

LANGKAWI - Pulau Tuba yang terletak kira-kira lima kilometer dari Jeti Kuah, kini bernafas baharu sebagai destinasi pelancongan komuniti dengan pelbagai tarikan dan peluang ekonomi yang semakin berkembang, hasil pelaksanaan pelbagai projek pembangunan.

Pulau kecil yang sebelum ini berdepan kekurangan infrastruktur asas berubah wajah dengan pelbagai kemudahan baharu seperti kios niaga dan lampu solar selepas diangkat sebagai Kampung Angkat Madani (KAM) dan digerakkan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA).

Iklan
Iklan

Antara inisiatif utama ialah pembinaan kios makanan di Kampung Selat Bagan Nyiur yang membolehkan penduduk menjual makanan dan minuman kepada pelancong serta pengunjung tempatan.

Kumpulan Wanita Teluk Berembang yang mengusahakan LekoShow, sebuah perniagaan tempatan yang terkenal di pulau ini khusus dalam pembuatan keropok lekor ikan kebasi.

Iklan

Ia telah menjadi tempat persinggahan wajib dan tarikan utama bagi pelancong yang berkunjung ke Pulau Tuba dan berjaya mewujudkan peluang pekerjaan untuk komuniti setempat daripada proses mencuci ikan sehinggalah kepada menggoreng keropok lekor.

Pengusahanya, Rosnani Che Ghazali, 49, dari Kampung KEDA Teluk Berembang berkata, sejak menerima kemudahan itu, jumlah pelancong yang berkunjung ke Pulau Tuba meningkat dengan ketara.

Iklan

Rosnani (kanan) bersama pekerja semasa ditemui di kedainya di Kampung KEDA Teluk Berembang.

Menurutnya, golongan wanita khususnya ibu tunggal turut menerima manfaat daripada perkembangan ekonomi tersebut.

“Sebelum ini, pelancong datang ke Pulau Tuba akan menyatakan pulau ini tiada apa. Sejak saya mula mengusahakan keropok lekor, mereka datang dan beli. Alhamdulillah, rezeki bertambah.

“Sekarang kami proses sehingga 400 kilogram (kg) ikan sehari kerana permintaan tinggi terutamanya pada hujung minggu dan musim cuti sekolah,” katanya yang turut menggaji anak tempatan sebagai pekerja tetap.

Bagi seorang penerima bantuan kios niaga, Abdul Ghani Mat, 42, bantuan yang diterima itu membolehkannya berniaga air kelapa dengan lebih lancar dan selesa.

Bermula berniaga di bawah bangsal kayu sejak sembilan tahun lalu, beliau gembira selepas menerima kios tertutup yang membolehkan perniagaan beroperasi ketika hujan.

“Apabila hujan, saya tidak boleh berniaga. Dengan adanya kemudahan kios tertutup ini, rasa lebih selamat. “Selepas pasang lampu solar, kawasan ini lebih meriah dan pengunjung semakin bertambah datang ke sini,” katanya.

NOR SYAKIRAH

Sementara itu, Nor Syakirah Mat Lazim, 38, yang menjual wafel juga turut berterima kasih kepada kerajaan kerana memilihnya untuk menerima bantuan kios niaga.

“Sebelum ini saya berniaga di bangsal kayu tetapi selepas dapat kios, pendapatan bertambah dan saya memberi kan perkhidmatan lebih baik kepada pelanggan. Program ini memberi manfaat terus kepada penduduk kampung,” katanya.

Kawasan tumpuan pelancong

HASMADI

Sementara itu, Mantan Pengerusi Majlis Keselamatan Kampung (MKK) Kampung Selat Bagan Nyior, Hasmadi Hashim berkata, pemasangan 40 lampu solar dan lima kios, telah menyebabkan kawasan itu kini menjadi tumpuan pelancong, terutamanya pada waktu malam.

“Kebanyakan peniaga sebelum ini berniaga di pelbagai tempat. Kini kampung ini sudah menjadi pusat sehenti yang menyediakan pelbagai pilihan makanan. Apabila pelancong ramai, ekonomi setempat berkembang dan penduduk mendapat manfaat,” katanya.

Pengerusi Pertubuhan Komuniti Anak Tempatan (PEKAT), Ismail Masa turut menyuarakan harapan agar lebih banyak program ekonomi dilaksanakan untuk membantu anak muda kekal bekerja di pulau itu.

ISMAIL

“Selepas jadi KAM, kita menerima kesan positif. Anak muda mula bekerja dengan koperasi Bestuba. Apabila pelancong makin ramai, kedai semakin bertambah dan peniaga sedia ada membesarkan perniagaan mereka,” katanya.

Melalui Koperasi Kepulauan Tuba dan Selat (Koptubas), penduduk didedahkan kepada konsep pelaburan bijak serta pengurusan kewangan. Koperasi itu telah membeli sebuah feri kecil dan memperkenalkan produk pelancongan baharu seperti Bestuba Lagoon di Tanjung Peluru.

Kini, Pulau Tuba menawarkan 14 perjalanan feri sehari antara Langkawi ke Pulau Tuba dengan kapasiti sehingga 1,680 pelancong sehari pada musim puncak.

Program KAM yang dilaksanakan di bawah Kementerian Kewangan, menjadi pemacu utama perubahan ini di Pulau Tuba dengan menghubungkan pem bangunan infrastruktur, peluang ekonomi dan sokongan keusahawanan kepada penduduk pulau.

Transformasi Pulau Tuba membuktikan bahawa pendekatan komuniti dan sokongan berterusan mampu mengangkat ekonomi setempat serta menjadikan pulau terpencil sebagai destinasi pelancongan yang berdaya saing hasil sokongan projek melalui KAM yang memperuntukkan RM2.5 juta dan selesai sepenuhnya pada 2024.